suria

Saksi Takut Untuk Bantu Syafiah Humaira

Muhammad Faleeq Hakimi, seorang saksi pendakwaan dalam kes bunuh Syafiah Humaira. Foto SAM THAMN/THE STAR
Muhammad Faleeq Hakimi, seorang saksi pendakwaan dalam kes bunuh Syafiah Humaira. Foto SAM THAMN/THE STAR
Muhammad Faleeq Hakimi, seorang saksi pendakwaan dalam kes bunuh Syafiah Humaira. Foto SAM THAMN/THE STAR

SHAH ALAM: Perasaan takut menyebabkan dua pelajar sekolah menengah sekadar melihat perbuatan seorang pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil memijak dan menendang seorang kanak-kanak perempuan dengan menggunakan kasut bola.

Muhammad Faleeq Hakimi Zazali, 16, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-tujuh dalam perbicaraan kes bunuh Syafiah Humaira Sahari, 3 tahun 4 bulan berkata, dia turut dimarahi tertuduh, Mohd Fazli Azri.

“Abang Mat (panggilan tertuduh) kata kau jangan sibuk. Nanti kau yang aku buat macam ini,” kata saksi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani mengenai perbuatan tertuduh, saksi menjawab tertuduh meminta kanak-kanak itu mengambil bola pantai yang ditendangnya.

“Abang Mat marah budak itu dengan mengatakan kau (budak tersebut) tak ada kaki ke (untuk) bagi bola. Budak itu ambil bola dan peluk dalam keadaan mencangkung.

“Abang Mat minta semula bola. Budak itu duduk diam sahaja. Abang Mat pergi ke arah budak itu dan sepak bola yang sedang dipeluk. Budak itu tercampak,” kata saksi, seorang pelajar tingkatan empat.

Tertuduh kemudiannya menyeret tangan budak tersebut dan dicampakkan keluar dari padang.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Muhammad Nur Afiq Othman berkata, dia tidak melakukan apa-apa bagi membantu kanak-kanak itu walaupun dia bermain bola dengan tertuduh.

“Saya berada dekat tiang gol. Saya cuma tengok sahaja (kejadian itu). Saya tidak berani,” kata saksi semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Zureen Elina Mohd Dom.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kelapan, Muhammad Nur Afiq menambah, kanak-kanak itu dimarahi kerana enggan menjaga anak Abang Mat, iaitu Syakimie Iqbal yang digelar ‘Ami’.

“Budak perempuan itu baring. Abang Mat marah dan kata kau (kepada budak perempuan itu) jaga Ami. Nanti aku pijak dengan kasut bola,” katanya.

Saksi menambah, dia hanya membantu membawa selipar kanak-kanak itu ke dalam teksi tertuduh, selepas seorang lagi pelajar, Ahmad Fikrihalis Zakaria, 19, datang mengangkat kanak-kanak tersebut.

Katanya, dia membuka pintu teksi untuk membolehkan Ahmad Fikrihalis (saksi pendakwaan ke-enam) meletakkan kanak-kanak itu di kerusi penumpang hadapan teksi.

“Saya lihat keadaan budak itu lembik. Saya lihat ada kesan biru pada rusuk kiri,” katanya lagi.

Saksi pendakwaan kesembilan, Muhammad Sanusi, 15, pula berkata, pintu teksi terkena pada kanak-kanak itu semasa tertuduh menutup pintu teksi sedangkan kanak-kanak itu baru hendak keluar dari teksi.

Mohd Fazli Azri, 28, dibicarakan atas tuduhan membunuh Syafiah Humaira iaitu anak kepada kekasihnya, Siti Nurhanim Aziz, 25, pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Tertuduh yang diwakili peguam Gurbachan Singh boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki akan bersambung esok.

Artikel Berikut

Artikel Lain