suria

400 Pekerja Terabai Apabila Kilang Perabot Tiba-Tiba Tutup

PELABUHAN KLANG: Lebih daripada 400 pekerja kilang perabot, Kenmark Industries sebuah syarikat senaraian awam di sini terabai apabila pemilik syarikat itu gagal dihubungi dan para eksekutif meletakkan jawatan manakala kilang itu ditutup.

Bagaimanapun, gaji pekerja berkenaan bagi bulan lepas telah dibayar tetapi mereka langsung tidak diberikan sebarang petunjuk yang kilang itu akan ditutup dan mereka akan kehilangan kerja.

Pekerja berkenaan terkejut apabila mendapati pagar kilang itu dikunci apabila mereka datang kerja semalam, menurut Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam yang berada di kilang itu untuk membantu pekerja.

Beliau memberitahu bahawa MTUC akan membantu pekerja memfailkan permohonan bagi mendapatkan faedah pemberhentian kerja.

Pekerja terbabit terdiri daripada 200 warga tempatan dan 206 warga asing kebanyakannya warga Bangladesh dan Myanmar. Kesemua pekerja asing terbabit kini dtempatkan di sebuah asrama bersebelahan kilang itu.

Balasubramaniam meminta Jabatan Tenaga Kerja membantu pekerja asing itu mendapatkan faedah penuh sebelum mereka pulang ke tanah air masing-masing.

Bekas Pengurus Sumber Manusia syarikat itu, Yeow Kim Fah, semasa dihubungi berkata: "Saya tidak pasti mengenai masa depan pekerja kerana semuanya bergantung kepada pihak pengurusan." Beliau enggan mengulas lanjut.

Yeow yang telah berkhidmat dengan syarikat itu selama 16 tahun berkata: "malahan nasib saya juga tidak pasti."

Seorang daripada pekerja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Atan berkata: "Kami terkejut apabila kami datang kerja semalam dan lihat kilang sudah ditutup.

"Kami keliru dengan apa yang berlaku kerana tiada siapa yang dapat memberitahu kami, tetapi ada khabar angin di kalangan pekerja bahawa pemilik syarikat dari Taiwan telah meninggalkan negara ini dan kilang ini akan dilelong," katanya.

Menurut laporan tahunan 2009 syarikat itu, Pengarah Urusan James Hwang, warga Taiwan, adalah pemegang saham perseorangan terbesar dengan 27.61 peratus.

Hwang, bagaimanapun gagal dihubungi.

Menurut kenyataan Bursa Malaysia, Kenmark kini adalah syarikat PN17 ekoran gagal membayar pinjaman dan menerima surat tuntutan daripada EON Bank dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd.

Pemeriksaan dengan Bursa mendedahkan harga saham Kenmark pada 10.30 pagi Selasa telah menjunam kepada 4.5 sen seunit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, jabatan itu sedang menjalankan siasatan.

"Jabatan akan lakukan yang terbaik untuk membantu pekerja berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain