suria

Lori Bawa Barangan Elektrik Ditemui Di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Sebuah lori membawa muatan barangan elektrik yang dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Selangor pada Rabu lalu ditemui semula di kawasan Taman Jawi Jaya di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 5 pagi menjumpai lori berkenaan yang membawa muatan barangan elektrik bernilai kira-kira RM120,000, ditinggalkan di tepi jalan.

Beliau berkata siasatan mendapati lori yang sepatutnya menghantar muatan itu ke Johor Baharu, Johor, dilaporkan hilang oleh pemandu lori berkenaan semasa ia ditinggalkan berhampiran dengan rumahnya di Sungai Buloh.

"Siasatan mendapati sebahagian barangan elektrik mewah seperti pendingin hawa serta perkakas dapur hilang, dipercayai sudah dijual," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan ada antara barangan elektrik yang hilang itu yang dijual pada harga murah di sekitar Seberang Prai Selatan dan beliau meminta orang ramai yang membeli barangan berkenaan supaya menyerah kembali barang itu kepada polis bagi membantu siasatan, dan memiliki barang curi merupakan satu kesalahan jenayah.

Sementara itu dalam kes berasingan, Shafien berkata Rabu lepas polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan menipu orang ramai.

Beliau berkata lelaki berumur 33 dan 36 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 6.40 petang selepas seorang pengguna mencurigai kedatangan mereka ke rumahnya.

"Dalam kejadian Rabu lepas dua lelaki yang mengaku pekerja TNB itu datang ke rumah seorang lelaki berumur 66 tahun di Sungai Acheh di sini dengan mendakwa hendak membuat pemeriksaan meter," katanya.

Katanya selepas pemeriksaan mereka menuduh kononnya lelaki itu mencuri bekalan eletrik kerana meter eletriknya dikatakan tidak berfungsi, dan mereka kemudiannya menuntut RM10,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya mulai merasa curiga dan menghubungi polis.

Shafien berkata berdasarkan siasatan awal dua lelaki itu dipercayai mengaut keuntungan dengan menjalankan kegiatan penipuan itu di sekitar Pulau Pinang sejak sebulan lepas.

"Kedua-dua mereka kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis meminta orang ramai yang pernah ditipu dua lelaki berkenaan supaya membuat laporan polis," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain