suria

Sultan Kelantan Tetap Ke Singapura Jika Dibenarkan

KOTA BARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra akan dibawa meneruskan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura seperti yang dirancang sebelum ini jika mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada tahap kesihatan Sultan Kelantan supaya kembali stabil.

Kakanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan rawatan baginda di Singapura seperti yang dirancang sebelum ini.

"Memang kita nak bawa Tuanku Ismail teruskan rawatan di Singapura... di sana rawatannya lebih baik dan penting untuk kesihatan baginda, tapi terpulanglah jika dapat kebenaran.

"Tapi kita kena tunggu sampai baginda betul-betul stabil dulu baru boleh bawa," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini Selasa.

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan kesihatan Tuanku Ismail, Tengku Merjan berkata, keadaan baginda semakin ceria dan gembira setelah pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian.

"Keadaan baginda lebih baik, sangat ceria dan berselera untuk makan... baginda tunjukkan perkembangan yang baik," katanya.

Ahad lalu, Sultan Kelantan dibawa pulang ke Istana Mahkota setelah lima hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Keberangkatan pulang baginda mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Selain itu Tengku Merjan berkata, Sultan Kelantan kini diberikan rawatan susulan oleh doktor yang merawat baginda sebelum ini.

"Tuanku dirawat oleh doktor-doktor yang merawat baginda sebelum ini supaya keadaan baginda kembali pulih.

"Mereka juga lakukan terapi pertuturan dan fisioterapi kepada Tuanku Ismail," katanya.

Menurut Tengku Merjan lagi, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid sangat prihatin terhadap tahap kesihatan Tuanku Ismail.

"Raja Perempuan sangat prihatin, baginda sangat cekal serta kuat melayan Tuanku Ismail siang dan malam," katanya.

Artikel Lain