suria

Bekas Komando Pecah Rekod Berjalan 410km Sempena Ulang Tahun Umno

KUALA LUMPUR: Bekas komando Abdul Halim Yaakob mencatat sejarah dengan memecah rekodnya sendiri dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan tanpa henti sejauh 410 kilometer dari Butterworth ke Kuala Lumpur dengan hanya mengambil masa hampir 29 jam.

Mengambil semangat perjuangan Umno sebagai galakan, beliau berjalan secara solo dari Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth pada 8.20 pagi semalam dan tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1.10 tengah hari Selasa.

Pada 30 Ogos, tahun lepas, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52, beliau mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan kaki tanpa henti secara solo sejauh 410km selama 50 jam 40 minit dari Pulau Pinang ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Abdul Halim, 50, berkata kejayaan yang memberangsangkan kali ini adalah kerana ia dilakukan dengan serius di mana beliau telah berlatih tanpa henti termasuk berjalan 24 jam mengelilingi Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baru 2010, mendaki bukit dan berjalan ke Sungai Petani serta ke Taiping.

"Saya lakukan ini (berjalan kaki) sempena sambutan ulang tahun ke-64 Umno untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dan ini adalah hadiah daripada saya buat Umno," katanya ketika ditemui malam ini.

"Banyak cabarannya namun saya bersyukur kerana dapat melepasi segala halangan," katanya.

Anak kelahiran Kampung Bukit Teh, Bukit Mertajam itu ditemani isterinya, Halipah Yusoff, 40, dan anak saudaranya Azuber Ahmad, 32, yang membawa makanan, minuman serta kotak pertolongan cemas dengan menunggang motosikal.

Abdul Halim yang menyifatkan kejayaan hari ini sebagai paling berharga, berkata tindakannya itu didorong oleh amanat arwah bapanya, Salleh Ahmad yang merangsang supaya melakukan sesuatu untuk mengharumkan bangsa Melayu tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Ini adalah amanat ayah. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya. Walau saya hadapi sedikit cabaran, saya dapat sudahkannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain