suria

19 Laporan Polis Diterima Sejak Sabtu - Ketua Polis Selangor

HULU SELANGOR: Sebanyak 19 laporan polis membabitkan pelbagai kes diterima sepanjang proses penamaan calon dan tempoh berkempen yang masuk hari kedua pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata daripada jumlah itu polis telah membuka sembilan kertas siasatan.

"Sembilan kes itu membabitkan kes mencederakan orang (empat), khianat dan pecah rumah dan kereta (dua), kes di bawah kesalahan pilihan raya (dua), dan kes mengenai poster pilihan raya (satu)," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata 10 lagi kes akan disiasat dengan teliti sebelum kertas siasatan mengenainya dibuka.

Selain itu katanya, polis juga turut menerima beberapa kes mengenai kesalahan berceramah tanpa permit membabitkan parti-parti bertanding dan mereka telah diberikan amaran keras sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Beliau berkata sebanyak 20 permit bagi mengadakan ceramah telah diterima setakat ini dan pihaknya juga turut menolak beberapa permohonan kerana tidak lengkap selain masa dan lokasi ceramah tidak sesuai.

Khalid juga memberi amaran akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain