suria

13,000 Pengundi Hulu Selangor Ditukarkan Bagi Pembetulan Lokaliti

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memindah pusat pengundian lebih 13,000 pengundi kerusi Parlimen Hulu Selangor bagi memberikan keselesaan kepada mereka dan bukannya kerana alasan politik, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya ia dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958 bagi membuat pembetulan lokaliti yang mengambil kira aspek ketenteraman awam, lokasi mengundi yang tidak sesuai dan mendapat tempat baru yang lebih sesuai.

"Kita membuat perubahan itu berdasarkan keselesaan pengundi dan tidak mahu satu saluran itu mempunyai pengundi yang ramai melebihi 3,000 orang termasuk mengambil kira pembinaan sekolah baru dengan menutup sekolah lama, bukan dua sekolah dibuka serentak seperti yang diperkatakan pembangkang demi kepentingan politik mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan satu portal berita yang memetik pengarah pilihan raya PKR Hulu Selangor, Fuziah Salleh yang mendakwa pihaknya mendapati 13,488 pengundi atau kira-kira satu perlima daripada jumlah pengundi telah dipindahkan ke pusat pengundian lain berbanding pusat mengundi pada pilihan raya umum ke-12 lepas.

Wan Omar turut kesal dengan dakwaan pembangkang yang mengatakan SPR menjadi dalang bagi mengurangkan undi kepada Pakatan Rakyat dan memenangi parti Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Ahad ini.

Menurutnya, semasa pilihan raya umum lepas, terdapat 45 daerah dan kini bertambah kepada 47, dengan daerah Serendah dipecah kepada Kampung Baru Serendah dan Bukit Beruntung kepada Taman Bunga Raya.

Beliau juga berkata seramai 228 orang pengundi yang sebelum ini menjadi pengundi di Hulu Selangor ditukarkan kepada parlimen Selayang juga dilakukan bagi tujuan yang sama.

"Dengan itu, jumlah pengundi akan berkurangan iaitu dari enam saluran semasa pilihan raya umum ke-12 kepada tiga saluran setiap satu kawasan sebagai keselesaan untuk pengundi," katanya.

Wan Omar yang kesal dengan tuduhan itu berkata pembetulan lokaliti itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor yang tidak dijangka berlaku dan SPR memaklumkan berhubung perkara itu kepada pihak yang berkenaan.

Katanya, pertukaran juga dilakukan atas permohonan pengundi serta pertukaran alamat pada kad pengenalan mereka dan pihaknya tidak sewenang-wenang menukar tanpa sebab yang munasah.

Sementara itu, beliau mengingatkan mana-mana parti politik yang bertanding tidak memasang papan tanda atau sebarang kain rentang yang boleh mewujudkan provokasi yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Papan tanda atau sepanduk yang mengandungi unsur-unsur sensitif yang boleh menyebarkan perasaan jahat atau boleh mencetuskan ketegangan dan mendatangkan permusuhan tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata pihak terbabit perlu menurunkan papan tanda berkenaan dalam tempoh sehari selepas dilaporkan dan sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, pasukan penguatkuasa SPR akan menurunkannya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lalu kerana barah otak.

Pengundian akan diadakan pada Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain