suria

Geng Benjee Tumpas, 12 Kes Rompakan Selesai

KOTA KINABALU: Setelah bermaharajalela melakukan rompakan di kediaman mewah sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan dalam tempoh dua bulan, sekumpulan lelaki dikenali 'Geng Benjee' tersungkur di tangan polis Sabah dalam dua tangkapan pada 10 dan 11 April lepas.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dengan penangkapan tujuh lelaki rakyat tempatan berusia antara 26 dan 51 tahun itu pihaknya percaya 12 rompakan di kediaman mewah yang berlaku dalam tempoh Februari dan Mac lepas tersebut selesai.

"Kerugian hasil daripada perlakuan jenayah kumpulan ini dianggarkan sebanyak RM1.8 juta. Sebahagian besar barang-barang yang dirompak kita telah dapatkan semula," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga turut menemui sepucuk revolver bersama peluru yang diambil kumpulan itu ketika merompak kediaman seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Luyang.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Noor Rashid berkata, hasil maklumat awam ramai polis berjaya menahan tiga lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Sulaman, Tuaran kira-kira pukul 12.40 pagi pada 10 April.

Katanya, sepucuk senjata api juga ditemui pada salah seorang daripada mereka.

"Pada keesokannya polis berjaya menahan empat lagi termasuk ketua kumpulan di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira pukul 8.55 malam semasa mereka sedang menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur," katanya.

Noor Rashid berkata, siasatan awal mendapati anggota kumpulan itu terdiri daripada bekas banduan dan penagih dadah.

"Pihak kami masih menyiasat sejak bila kumpulan ini aktif dan sama ada masih terdapat anggota lain yang masih bebas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain