suria

Buku Riwayat Hidup Pelukis Tersohor, Allahyarham Datuk Ibrahim Bakal Dilancar 13 Mac

Alia, Datin Sim dan Eddin dengan buku autobiografi Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein. - Foto THE STAR oleh LOW LAY PHOON
Alia, Datin Sim dan Eddin dengan buku autobiografi Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein. - Foto THE STAR oleh LOW LAY PHOON
Alia, Datin Sim dan Eddin dengan buku autobiografi Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein. - Foto THE STAR oleh LOW LAY PHOON

PETALING JAYA: Sebuah buku riwayat hidup Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein dalam bahasa Inggeris bakal dilancarkan pada 13 Mac ini di kompleks beli-belah Bangsar Village II, bahagian Concourse, bagi membolehkan orang ramai lebih mengenali pelukis tersohor itu.

Isteri Allahyarham, Datin Sim Hussein berkata, pembaca dapat menyelami bagaimana Allahyarham menjalani serta melihat kehidupannya menerusi buku yang mula ditulis pada pengakhiran 2007 sebelum pemergiannya pada tahun lalu.

Katanya, satu pameran karya terkini Allahyarhamah turut diadakan sempena penerbitan buku itu.

"Sebanyak 13 karya terpilih dan belum pernah dipamerkan di mana-mana akan dipamerkan di Tingkat 3, Bangsar Village II dari 14 Mac hingga 4 April ini.

"Lukisan terakhir Allahyarham bertajuk 'Myanmar' adalah antara lukisan yang akan dipamerkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan penerbitan 'IB: A Life - The Autobiography of Ibrahim Hussein" dan pameran karya-karya terkini Ibrahim Hussein.

Turut hadir, dua penyunting buku autobiografi iaitu penulis Eddin Khoo dan Alia, anak perempuan Allahyarham Ibrahim Hussein.

Menurut Sim, satu edisi bahasa Melayu, 'Riwayat Hidup Ibrahim Hussien' sedang dalam proses penterjemahan dan akan diterbitkan dalam beberapa bulan akan datang.

Ibrahim dilahirkan di Sungai Limau Dalam, daerah Yan, Kedah pada tahun 1936. Allahyarham diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara pelukis Malaysia yang ulung dan berpengaruh.

Allahyarham telah banyak menyumbang kepada kegiatan seni di dalam dan luar negara selain mengasaskan Muzium dan Yayasan Budaya Ibrahim Hussein di hutan lipur Pasir Tengkorak, Teluk Datai, Langkawi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain