suria

Kilang Proses Keledek Vitato RM5 Juta Dibina Di Besut

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merancang untuk membina kilang memproses ubi keledek vitato berharga lebih RM5 juta di Besut sebagai tanaman alternatif kepada bekas penanam tembakau memperoleh punca hasil baru.

Pengarah Direktorat (Projek Impak Tinggi) kementerian, Ibrahim Salleh berkata, sebanyak RM2 juta dibiayai kerajaan Terengganu untuk pembinaan bangunan kilang manakala kemudahan infrastruktur bernilai RM3 juta dibiayai Kerajaan Pusat.

"Tender mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi. Kilang dijangka siap dan mula beroperasi tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani jual beli ladang kontrak tanaman vitato, labu manis, tembikai dan jagung antara Fama dan Pertubuhan-pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semerak di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah FAMA Kelantan, Fauzi Mohamad mewakili pihak FAMA manakala pengerusi-pengerusi PPK Semerak, Kandis Bachok, Machang, Gual Ipoh, Lembah Pergau, Pulai Chondong mewakili pertubuhan masing-masing.

Ibrahim berkata, kawasan tanah beris sepanjang pantai Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tembakau berpotensi untuk dikomersialkan dengan tanaman itu.

Beliau berkata, tanaman itu berpotensi untuk dikomersilkan kerana bahan mentah itu boleh menghasilkan 12 hingga 13 produk makanan ringan seperti tepung, jus serta kuih dan mempunyai vitamin A yang tinggi.

"Jika diamalkan (makan keledek vitato) ia baik untuk mengawal penyakit kronik seperti barah," katanya.

Mengenai pemasaran, Ibrahim berkata, sehingga kini beberapa pasar raya ternama telah menyatakan kesanggupan memasarkan produk berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Pengeluaran Ladang Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan, Muhamad Mohd Lazim berkata, seramai 69 petani sedang mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas lebih 53 hektar di kawasan tanah beris di Bachok dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, kawasan itu akan mengeluarkan hasil sebanyak 1,101 metrik tan dengan kadar harga 50 sen sekilo pada bulan Mac hingga Ogos tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain