suria

4 Terkorban Pada Hari Ke-12 Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kematian dicatatkan pada hari ke-12 Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya seramai 172 orang sejak operasi itu bermula 7 Februari lepas.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supritendan Rasdi Ramli dalam satu kenyataan berkata, mereka yang terkorban adalah dua pengguna motosikal dan masing-masing seorang bagi pengguna kereta dan bas.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 397 kes diikuti jalan persekutuan (230 kes), jalan negeri (155 kes), lebuh raya (68 kes) dan jalan-jalan lain (47 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 897 kes.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 12,917 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lepas sempena Tahun Baru Cina akan berakhir pada Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Lain