KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan Lans Koperal Asminton Salimin, pemandu Ketua Penolong Pengarah (Siasatan 2) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Hazam Abdul Halim yang maut dalam kemalangan di Hulu Selangor awal pagi semalam.Ketua Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata polis akan mengambil keterangan Asminton dalam tempoh terdekat bagi menyiasat punca sebenar kemalangan itu di Kilometer 419.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur, berhampiran susur masuk ke Bukit Tagar. "Keadaan Asminton kini stabil dan dia telah pun dipindahkan ke wad biasa. Kami perlu menunggu keadaannya benar-benar sembuh supaya proses mengambil keterangan nanti berjalan lancar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.Dalam kemalangan itu, Mohd Hazam, 49, menaiki kereta rasmi Polis Diraja Malaysia jenis Proton Perdana yang dipandu Asminton, 27. Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Ipoh, Perak, menghala ke ibu negara.Che Hussin berkata Unit Forensik Bukit Aman telah diminta untuk menyiasat dan memeriksa keadaan jalan di tempat kejadian."Dalam masa terdekat ini juga kita akan minta (Unit) Forensik untuk periksa keadaan jalan iaitu 300 meter dari tempat kemalangan bagi mengetahui sama ada terdapat cecair seperti minyak pelincir yang mungkin menyebabkan jalan licin," katanya.Kemalangan pada kira-kira pukul 12.45 pagi itu berlaku apabila kereta yang dipandu Asminton merempuh bahagian belakang treler membawa muatan tiang lampu stadium yang berhenti di lorong kecemasan di lebuh raya itu. BERNAMA