suria

Rakyat Malaysia Tidak Amal Gaya Hidup Sihat

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak prihatin terhadap tahap kesihatan selain tidak mengamalkan cara hidup sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, penduduk tempatan tidak peka dengan pemakanan sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit-penyakit termasuk hipertensi.

“Mereka tidak bersenam dan tidak memakan makanan yang seimbang dalam diet harian. Ini termasuk mengambil makanan yang tinggi dengan kandungan gula, garam dan lemak,” kata beliau apabila dihubungi mStar Online hari ini.

Mohd. Ismail menambah, amalan merokok dan meminum arak juga menjadi sebab utama yang menyumbang kepada pengidap hipertensi atau darah tinggi.

Keadaan itu berlaku kerana kebanyakan mereka mengalami stres di tempat kerja dan sebagai jalan mudah mereka terjebak dengan amalan tidak sihat seperti itu.

“Untuk jangka masa panjang hanya memudaratkan kesihatan dan bukannnya membantu meringankan masalah seseorang,” jelasnya.

Beliau berkata, penduduk negara ini sepatutnya merehatkan minda dengan beriadah atau bersenam bagi memperoleh badan yang sihat.

Terdahulu Mohd. Ismail membeitahu kira-kira 4.8 juta orang atau 43 peratus daripada rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas menghidapi Hipertensi dan angka itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu berdasarkan kajian The National Health and Morbidity Survey.

“Selain itu, ramai dikalangan masyarakat tempatan juga obes dan menghidapi diabetes, strok, serta masalah jantung.

“Ini boleh menyebabkan mereka mengalami penyakit-penyakit kronik lain yang berkaitan dengan kardiovaskular,” katanya.

Artikel Lain