suria

Yayasan Melaka Sedia Lunas Cukai Tanah YBK Di Serendah - Ali Rustam

JITRA: Yayasan Melaka sedia membantu melunaskan cukai tanah seluas 526 hektar milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di Serendah, Rawang, bernilai hampir RM6 juta, atas dasar untuk membantu golongan miskin.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya sudi berbuat demikian sekiranya kerajaan Selangor bersetuju melanjutkan tempoh bayaran itu sehingga Isnin ini.

"YBK diminta supaya membuat rayuan kepada kerajaan negeri agar memberi kebenaran membayar cukai tanah berkenaan pada minggu depan.

"Saya mengetahui perkara ini menerusi media sahaja, kalau tahu lebih awal, Yayasan Melaka boleh bantu YBK bayarkan dulu cukai tanah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Juara Rakyat 1Malaysia 2010, di Dewan Wawasan, di sini hari ini.

Katanya, sekiranya kerajaan Selangor menerima rayuan itu, Yayasan Melaka akan mengadakan usaha sama dengan YBK untuk membangunkan kawasan berkenaan demi kepentingan golongan miskin.

Baru-baru ini, dilaporkan hasrat YBK untuk membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik YBK terbantut, apabila kerajaan Selangor enggan meluluskan pelan pembangunan yang dibuat yayasan itu.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Akibat penolakan syarat itu, kerajaan negeri menggesa YBK supaya membayar tunggakan cukai tanah hampir RM6 juta dan ia menyebabkan kelewatan pembangunan kampus UiTM di kawasan berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kemudiannya mengesahkan kampus baru UiTM itu dipindahkan ke Jasin, Melaka.

YBK sebelum ini dilaporkan memang tidak mampu membayar cukai berkenaan kerana peruntukan yang ada hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian untuk 300 anak yatim di bawah jagaan yayasan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain