suria

Perayu Dakwa Undang-Undang Tidak Adil Terhadap Lelaki

PUTRAJAYA: Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang disabitkan kesalahan bagi 22 tuduhan meliwat, meminta Mahkamah Rayuan di sini mengisytiharkan bahawa peruntukan yang menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah, adalah bertentangan dengan perlembagaan dan berlaku tidak adil terhadap kaum lelaki.

Hujahan tentang perkara itu dibuat oleh peguam Fahri Azzat, yang mewakili Abdul Rahim Abd Rahaman, dalam rayuannya bagi mengetepikan hukuman penjara 60 tahun dan 22 sebatan terhadap Abdul Rahim oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2007.

Bagaimanapun, Abdul Rahim, seorang penghidap HIV, gagal meyakinkan hakim-hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop, yang menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman berkenaan.

Fahri berkata Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan, yang menetapkan bahawa perbuatan melakukan persetubuhan di luar tabie merupakan suatu jenayah, adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) dan (2) Perlembagan Persekutuan, yang menyebut bahawa semua orang perlu dilayan secara adil dan melarang perbuatan menindas rakyat.

Katanya penelitian yang dibuat terhadap Seksyen 377B dengan jelas menunjukkan bahawa peruntukan itu hanya terpakai bagi kaum lelaki kerana ia merujuk kepada seseorang yang memasukkan kemaluannya ke dalam dubur atau mulut orang lain.

Fahri berkata peruntukan itu memberi penjelasan yang amat sempit tentang "persetubuhan di luar tabie" iaitu hanya kaum lelaki yang boleh dikenakan tuduhan melakukan kesalahan itu.

Katanya ini bererti kaum wanita tidak boleh dikenakan pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabie, sedangkan kaum wanita juga sebenarnya ada berbuat demikian.

"Berdasarkan apa yang ada, jelas sekali, kaum wanita menikmati kekebalan daripada salah satu undang-undang jenayah paling berat di Malaysia.

"Sekiranya seorang wanita memasukkan 'vibrator' ke dalam dubur seorang lelaki dan menikmati keseronokan seksual daripada perbuatan itu, bukankah itu suatu perbuatan "persetubuhan di luar tabie" dalam erti kata sebenarnya?, kata beliau.

Dalam hujahnya, Fahri berkata seksyen berkenaan juga melanggar hak menikmati kebebasan peribadi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila ia menghukum perlakuan seksual secara sukarela oleh dua manusia sebagai suatu jenayah.

Kata-kata Fahri itu mendorong Suriyadi untuk bertanya: "Adakah kamu menyatakan bahawa perbuatan homoseks antara orang dewasa yang melakukannya secara sukarela sebagai sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang? Dalam perkataan lain, apa yang berlaku di dalam bilik tidur tidak perlu diambil peduli oleh kerajaan?"

Abdul Rahim, 39, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa di Gombak, Selangor antara 18 April dan 8 Mei 2007. Dia mengemukakan kes itu kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya.

Dalam hujahnya, timbalan pendakwa raya V.Shoba berkata hujah yang dikemukakan berhubung kedudukan seksyen berkenaan di sisi perlembagaan adalah tidak berasas kerana ia merujuk kepada persetujuan dua manusia untuk melakukan hubungan seks.

Kata beliau dalam kes ini, mangsa adalah remaja berusia 15 tahun, yang mengikut undang-undang, tidak mampu memberi persetujuan terhadap sesuatu tindakan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Amer Hamzah Arshad, seorang lagi peguam yang mewakili Abdul Rahim, berkata perkara yang dibangkitkan dalam kes ini mempunyai kepentingan awam dan oleh itu memerlukan penghakiman bertulis.

Terdahulu, Fahri memohon penghakiman bertulis dikeluarkan, tetapi kata Suriyadi panel hakim berkenaan akan hanya menyediakannya jika diarah berbuat demikian oleh Mahkamah Persekutuan, seperti yang lazim dilakukan bagi kes yang dikendalikan oleh mahkamah lebih rendah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain