suria

NKRA: Inilah Masanya Rakyat Beri Maklum Balas - Najib

KUALA LUMPUR: Inilah masanya...Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, masyarakat harus mengambil peluang untuk membuat penilaian berhubung laporan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) apabila ia dibentangkan kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan pihak media Khamis depan dan kepada orang-ramai pada keesokannya di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya.

Najib berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) melalui pendekatan NKRA ini telah mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana inilah kali pertama sebuah kerajaan melaksanakan usaha sedemikian secara menyeluruh lagi komprehensif.

“Kerajaan juga sanggup untuk mendedahkannya kepada orang ramai untuk dinilai pencapaiannya.

“Dan saya berpuas hati dengan bengkel yang kita jalankan hari ini. Bengkel ini menunjukkan komitmen yang amat tinggi di kalangan anggota Kabinet.

“Kerajaan komited untuk melakukan Program Transformasi Kerajaan ini sebagai agenda utama berasaskan kepada pendekatan dan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan NKRA dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (KPI) di Hotel Mandarin di sini pada Ahad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan ingin mendapatkan pandangan dan reaksi daripada kakitangan awam dan juga rakyat berhubung apa yang telah dibentangkan dalam NKRA sebagai satu usaha berterusan untuk menawarkan pentadbiran yang telus dalam mencapai semua yang telah ditetapkan di bawah sasaran pencapaian NKRA.

“Oleh itu, saya berharap orang-ramai akan menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang pendekatan yang digunakan oleh pihak kerajaan dan memberikan respon mereka kepada kita,” ujarnya.

Mengenai sama ada kerajaan akan menerima cadangan penambahbaikan yang diberikan oleh rakyat berhubung penilaian NKRA itu nanti, Perdana Menteri berkata, rakyat sentiasa dijemput untuk memberi cadangan dan pandangan mereka dalam isu berkenaan.

“Saya juga berharap sesetengah daripada usaha kita ini tidak dianggap sebagai muktamad. Ini bermakna ada interaksi dengan rakyat dan rakyat digalakkan memberi sebarang ulasan dan pandangan mereka,” ujarnya.

Namun demikian, Najib berkata masyarakat perlu sedar bahawa adalah mustahil untuk kerajaan mendapatkan persetujuan daripada semua pihak daripada setiap program yang dijalankan.

“Kita perlu sedar bagi sesuatu inisiatif dan program tidak boleh semua rakyat setuju, kalau ada satu dua yang tak bersetuju bukan bererti program itu tidak baik, mungkin daripada 100 peratus. 98 peratus bersetuju, hanya 2 peratus tak bersetuju, mustahil bagi kita dapat 100 peratus orang menyokong.

“Jangan anggap kalau ada pendapat yang kontra bererti program itu perlu ditolak atau dikaji semula melainkan program itu tidak boleh diterima atau tidak disukai oleh sebahagian besar rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah, kedua-dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koo dan Datuk Seri Idris Jala yang bertanggugjawab memantau pengurusan prestasi NKRA dan KPI. April lalu, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan KPI untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai satu langkah pembaharuan serta mendahulukan rakyat dalam usaha membangunkan negara .

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Enam teras NKRA ialah membabitkan usaha mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan penambahbaikan pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

Dalam pada itu Najib berkata; “Hari ini perbincangan kita berhubung dengan 6 NKRA, dan ia tidak melibatkan NKRA kementerian-kementerian lain, kerana NKRA kementerian-kementerian lain, saya lakukan penilaian secara berasingan,” katanya.

Jelasnya, bengkel yang diadakan hari ini merupakan bengkel jemaah menteri yang kelima dalam siri GTP sejak ia diperkenalkan

Ketika ditanya bila KPI bagi kesemua kementerian akan diumumkan, Najib berkata: “Proses itu sedang berjalan, saya ada 10 orang menteri lagi yang perlu saya jumpa dan mendengar taklimat mereka.

“Esok ada lagi (penilaian), selepas saya balik daripada Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark nanti pun akan ada (penilaian yang dijalankan) lagi. Saya harap dalam bulan 12 tahun ini, penilaian itu akan diselesaikan semuanya,” kata beliau lagi.

Najib turut menjelaskan kerajaan akan mengeluarkan satu dokumen yang komprehensif berhubung NKRA pada bulan Januari tahun depan.

“Kita akan menyenaraikan penilaian yang lebih jelas berhubung konsep 1Malaysia, perpaduan negara dalam dokumen itu nanti.

“Falsafah 1Malaysia akan digunapakai dalam semua NKRA ini, sebagai contoh kita (kerajaan) telah memberikan mykad kepada masyarakat Penan di negara ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain