suria

Petinju negara gagal ke Sukan SEA LAOS selepas dibelasah sekumpulan lelaki

BUKIT MERTAJAM: Seorang petinju muda terpaksa melupakan hasrat mewakili negara pada Sukan SEA Laos bulan depan selepas mengalami kecederaan akibat dibelasah sekumpulan 20 lelaki di Kampung Baru, Kuala Lumpur, minggu lepas.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam, Rabu lepas, B. Perabagaran, 21, terpaksa menerima lebih 50 jahitan di bahagian tangan, kaki kanan dan perut akibat ditikam dengan pisau rambo dan dipukul dengan botol.

Menceritakan insiden itu pada sidang akhbar di sini semalam, petinju dari Perai di sini, berkata beliau bersama tiga rakan petinju lain telah keluar makan di medan selera Kampung Baru yang terletak berhampiran Pusat Latihan Tinju di Keramat.

"Selepas selesai membayar bil makanan, saya ke tandas di kawasan berkenaan iaitu kira-kira 200 meter dari tempat kami makan. Sebaik keluar dari tandas, kumpulan itu terus menyerang saya," katanya, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Katanya kumpulan itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki beberapa buah kereta sebaik sahaja melihat beberapa rakannya datang membantu sebelum membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau mendakwa kejadian itu dirancang oleh pihak tertentu kerana tidak puas hati dengan pemilihannya ke temasya Sukan SEA Laos dari 9 hingga 18 Dis ini.

Perabagaran, pemenang pingat emas acara 75 kilogram Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2006 di Kedah dan 2008 di Terengganu, berkata beliau pulang ke rumah keluarganya di sini Sabtu lepas selepas menerima rawatan selama tiga hari di HKL.

Petinju itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini selepas memberi keterangan awal di pondok polis HKL. BERNAMA

Artikel Lain