suria

RASMI: MB Selangor minta ADUN Pelabuhan Klang letak jawatan

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat kerana didakwa tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Keputusan tersebut turut dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi PKR hari ini.

"Menteri besar akan menghantar wakil untuk memaklumkan secara peribadi kepada Badrul berhubung perkara tersebut," kata Nik Nazmi dalam kenyataan yang dikeluarkan itu.

Menurutnya, Badrul telah diberi surat tunjuk sebab pada 20 Ogos lalu namun tiada sebarang langkah yang telah dibuat untuk memperbaiki tugasnya sebagai ADUN.

"Walaupun beliau (Badrul) telah menyatakan kesediannya untuk bertemu dengan pemimpin di peringkat negeri dan parti untuk membincangkan mengenai masalah yang dihadapinya namun beliau gagal hadir dalam pertemuan yang diadakan itu.

"Pihak kerajaan negeri tidak boleh bertolak ansur terhadap pemimpin yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dalam usaha memperbaiki taraf hidup dan ekonomi raykat di negeri tersebut," katanya.

Sebelum ini, Badrul dilaporkan tidak pernah menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri dilihat menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ketua Umno Bahagian Klang sehingga menimbulkan ketidakpuashatian dalam kalangan exco negeri.

Ekoran dari peristiwa itu, terdapat beberapa dakwaan yang mengatakan Badrul berhasrat untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan memberi sokongan kepada Umno.

PKR Selangor turut menyarankan Badrul melepaskan jawatannya sebagai ADUN kerana tidak mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasannya disebabkan masalah kesihatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain