suria

Sindiket perdagangan manusia tumpas, dua suspek ditahan

KUALA LUMPUR: Satu sindiket perdagangan manusia yang menjadikan Malaysia sebagai transit, tumpas selepas polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket itu awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Ibupejabat Polis Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata kedua-dua mereka yang berumur 44 dan 55 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Pandan Perdana, Cheras, di sini pada kira-kira pukul 1 pagi, hasil perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Persekutuan Australia.

Beliau berkata keduadua mereka didapati terlibat secara langsung dalam kegiatan menghantar pekerja wanita tempatan dan asing untuk dijadikan pelacur di beberapa negara Asia seperti Australia.

Menurutnya sindiket itu menggunakan wanita muda yang terdiri dari rakyat tempatan dan warga asing untuk tujuan pelacuran dan ia dipercayai mengaut keuntungan hampir RM2 juta selepas lebih setahun beroperasi.

"Mereka (sindiket) akan menguruskan pasport atau visa penuntut palsu sebelum menghantar wanita-wanita ke luar negara untuk perdagangan seks," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadi Ho berkata polis percaya kebanyakan wanita muda yang terjebak dalam sindiket itu tertipu dengan habuan yang dijanjikan sindiket berkenaan.

Menjawab satu soalan Hadi Ho berkata polis sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi menyiasat kes itu dengan lebih terperinci.

"Kami akan terus memburu saki-baki anggota sindiket ini seperti pihak yang manjadi barua, yang mencetak pasport dan sebagainya yang membolehkan sindiket ini melepasi sempadan negara," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Ordinan Darurat 1969.

Sementara itu difahamkan lapan wanita tempatan dan seorang wanita rakyat China berjaya diselamatkan ekoran penangkapan itu.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain