suria

Uthayakumar desak hakim tarik diri dengar perbicaraan kes hasutannya

KUALA LUMPUR: Suasana perbicaraan kes peguam P. Uthayakumar yang menghadapi pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, panas apabila peguam bela terus mendesak Hakim Sabariah Othman menarik diri daripada mendengar kes itu walaupun telah berulang kali diberitahu supaya memfailkan permohonan berhubung perkara itu.

Seorang daripada peguam bela itu, N. Surendran, turut bertikam lidah dengan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin selepas beliau bertanya sama ada pihak pendakwaan diarah untuk memastikan Uthayakumar disabitkan bagi menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Selepas bertikam lidah agak lama, Sabariah membenarkan Uthayakumar dan para peguam yang mewakilinya iaitu Surendran dan M. Manogar, mengemukakan hujah kenapa beliau perlu menarik diri.

Katanya beliau akan membuat keputusan pada tengah hari esok sama ada akan membenarkan permohonan itu atau memerintahkan perbicaraan itu diteruskan.

Uthayakumar berkata Surendran telah memfailkan permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah pada 10 September bagi perbicaraan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau mendakwa Mahkamah Tinggi lebih kompeten untuk mendengar kes itu atas alasan pertuduhan terhadapnya melibatkan isu rumit.

Satu lagi permohonan difailkan pada 23 September bagi mendapatkan lebih banyak dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah berhubung siasatan polis dalam isu Kampung Medan pada 1999.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang dokumen daripada pihak pendakwaan mengenai isu Kampung Medan dan mahkamah ini patut tunggu sehingga Mahkamah Tinggi mendengar permohonan bagi pemindahan kes sebelum meneruskan perbicaraan.

"Saya tidak faham kenapa mahkamah ini berkeras untuk meneruskan kes ini di mana Mahkamah Tinggi mungkin membuat keputusan yang memihak kepada permohonan saya," kata Uthayakumar yang turut bercakap di samping dua peguam belanya.

Keadaan itu membuatkan beliau ditegur oleh Sabariah yang menegaskan perbicaraan itu telah ditangguhkan beberapa kali atas pelbagai alasan sejak beliau dituduh pada 11 Disember, 2007.

"Kes ini ditetapkan bagi perbicaraan selama tiga hari dan kes ini masih berada dalam bidang kuasa mahkamah ini dan saya akan teruskan perbicaraan," katanya. Noorin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan lebih 160 dokumen kepada pihak pembelaan dan beliau tidak tahu mengenai dua permohonan yang difailkan peguam bela Uthayakumar.

"Kami tidak dimaklumkan mengenai permohonan ini dan mahkamah tidak wajar membenarkan kes ditangguhkan kerana terdapat empat saksi hadir di mahkamah dengan dua daripada mereka datang dari Sarawak," katanya.

Noorin berhujah di bawah Perkara 154, Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa sahaja dan tiada yang luarbiasa mengenai perbicaraan Uthayakumar untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

Malahan sebelum saksi pendakwa yang pertama, Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman DCP Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dipanggil untuk memberikan keterangan, Uthayakumar memberitahu mahkamah yang beliau mempunyai satu lagi permohonan lisan bagi penangguhan perbicaraan.

Uthayakumar, 48, dituduh menyiarkan surat berunsur hasutan dalam laman web yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Surat bertarikh 15 November itu adalah dari kumpulan aktivis penganut Hindu, Hindraf, yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britian Gordon Brown di No 10, Downing Street, London. BERNAMA

Artikel Lain