suria

"Rasul Melayu" tukar pengakuan bersalah lima tuduhan pindaan

SHAH ALAM: Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap lima pertuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini petang ini.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad bagaimanapun menetapkan 2 Oktober untuk mendengar rayuan peguam bela tertuduh, Musa Awang dan hujahan pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abd Hamid serta pegawai pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) Muhamad Nazri Basrawi kerana mahkamah kesuntukan masa berikutan waktu pejabat berakhir pada pukul 5 petang.

Abu Zaky turut membenarkan permohonan Musa supaya Abdul Kahar, 59, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta 10 penjamin penjawat awam Jusa C bagi kelima-lima pertuduhan berkuatkuasa petang ini dan sekiranya gagal membayar jaminan, tertuduh akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Berhubung isu jaminan itu, Abu Zaky berkata mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin dengan dua penjamin penjawat awam tetapi dia tetap gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya tanpa sebarang alasan.

"Mengenai faktor anak-anak tertuduh yang sanggup menjamin bapanya dan bertanggungjawab terhadap kehadiran tertuduh pada tarikh seterusnya, mahkamah memutuskan anakanak tertuduh sepatutnya memberi kerjasama pada peringkat awal semasa kes bermula agar tertuduh hadir di mahkamah, tetapi mahkamah berpendapat tiada kerjasama diberikan.

"Kalau dibenarkan ikat jamin risikonya amat tinggi dan dibimbangi akan menimbulkan persepsi negatif terhadap mahkamah dan kepada institusi agama sendiri. Bagaimanapun mahkamah benarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin penjawat awam Jusa C bagi setiap pertuduhan berkuatkuasa petang ini. Kalau gagal (bayar jaminan) tertuduh hendaklah ditahan di Penjara Sungai Buloh," katanya.

Pertuduhan terhadap Abdul Kahar menyebut, dia didapati telah menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Tertuduh juga didapati mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi tuduhan ketiga Abdul Kahar didapati menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk orang Melayu, menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib memadai hanya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah Haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah serta boleh dikerjakan di mana-mana sahaja di bumi Allah.

Pertuduhan keempat menyebut, tertuduh didapati menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti yang mana dia masih menjelaskan amalan serta mengajar ajaran Kahar Bin Ahmad di hadapan tiga orang bernama Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan dan Mohammad Nabil Abu Naim yang difatwakan pada 23 Mei 1991 sebagai menyeleweng daripda ajaran agama Islam.

Bagi pertuduhan terakhir, Abdul Kahar didapati mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorangseorang."

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 8(a), 7 (1), 12(c), 10(b) dan 13 (1) enakmen itu membolehkan Abdul Kahar didenda RM21,000 dan dipenjara selama 13 tahun dan disebat.

Fakta kes menyebut tertuduh yang mendapat pendidikan sehingga darjah lima di sekolah Melayu, ditangkap pada 23 Jun 2005 oleh pegawai penguatkuasa JAIS berhubung semua kesalahan itu dan dia didapati telah menyebarkan pendapat serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi ajaran 'Kahar Bin Ahmad' telah diwartakan sebagai ajaran salah oleh Mufti Selangor pada 23 Mei 1991.

Pada 8 April 1991, Abdul Kahar pernah didakwa mengikut Seksyen 150 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952 kerana tidak bersolat Jumaat dan dikenakan denda RM300 atau dua bulan penjara.

Tertuduh yang merupakan bekas pekerja Zoo Negara, pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 17 Ogos 2005 serta dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dan sepatutnya dibicarakan pada 21 Sept 2005.

Dia bagaimanapun beberapa kali gagal hadir untuk dibicarakan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan walaupun waran tangkap dikeluarkan, sehinggalah pada 16 Sept lepas apabila dia ditahan pasukan penguatkuasa Jais kirakira pukul 9.45 pagi, di tempat persembunyian barunya di Sungai Long, Kajang sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan ke atasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain