suria

Bekas Ketua Umno cawangan Felda Mengkawang dibunuh kejam

HULU TERENGGANU: Bekas Ketua Umno cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, ditemui mati dibunuh dengan kejam di rumahya di Felda Mengkawang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mayat mangsa yang juga Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu oleh jirannya, Asmah Mat Adam, 45.

Lebih mengerikan usus mangsa terburai dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam.

Mangsa adalah juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Mengkawang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata berdasarkan siasatan, terdapat sembilan tikaman pada dada serta dua tikaman di bahagian rusuk kanan mangsa.

"Berdasarkan kepada kecederaan pada tangan mangsa, beliau dipercayai cuba mempertahankan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tengku Hamzah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.45 petang apabila jiran mangsa yang pergi ke rumah Asimah, menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Hasil siasatan lanjut, beliau berkata seutas rantai leher serta beberapa gelang tangan mangsa hilang.

Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa yang tinggal bersama suaminya, Hussin Sulong, 54, pergi ke rumah jirannya itu kira-kira pukul 2 petang sebelum pulang ke rumahnya tidak lama selepas itu.

"Jirannya itu kemudian pergi ke rumah mangsa dan apabila panggilannya tidak dijawab, beliau terus masuk ke dalam rumah kerana pintu terbuka. Sebaik memasuki rumah, jirannya terkejut melihat mangsa terlentang dengan berlumuran darah di ruang tamu," katanya.

Tengku Hamzah berkata suspek dipercayai lari ke kawasan hutan berdekatan, mengikut pintu belakang rumah mangsa berdasarkan kepada kesan tapak kaki.

Katanya semasa kejadian, suami mangsa, seorang pemandu lori, dalam perjalanan ke Kemaman untuk menghantar kayu balak.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang mengesan suspek. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain