suria

37 warga asing ditahan di Kg Ladang

KUALA TERENGGANU: Seramai 37 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam "Ops Nyah Bersepadu II" di tapak projek perumahan rakyat di Kampung Ladang di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Terengganu, ASP Mohd Faudzi Mohamad berkata mereka terdiri daripada warga Vietnam, Filipina, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

"Pemeriksaan yang dibuat di tapak projek berkenaan adalah berdasarkan maklumat daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas operasi selama kira-kira dua jam itu, bermula pada pukul 10 pagi ini.

Beliau berkata seramai 108 pekerja di tapak projek itu telah diperiksa melibatkan 22 rakyat Malaysia, penduduk tetap Malaysia (6), Indonesia (35), Bangladesh (31), Myanmar (7), Vietnam (4), Thailand (1) dan Filipina (2).

Katanya antara kesalahan yang dilakukan warga asing terbabit ialah tidak mempunyai permit kerja serta tinggal lebih masa dari tempoh yang ditetapkan.

Mohd Faudzi berkata warga asing terbabit kini ditahan di depot tahanan Imigresen di Ajil, Hulu Terengganu dan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap syarikat pemaju projek berkenaan.

Katanya operasi itu juga bagi mencegah warga asing terlibat dalam kegiatan jenayah selain menghindari mereka daripada terbabit dalam insiden pergaduhan.

Operasi yang disertai lebih 30 pegawai itu, turut membabitkan Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen dan polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain