suria

41 PATI yang mahu balik beraya di kampung ditahan Marin

JOHOR BAHARU: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terpaksa melupakan hasrat untuk berhari raya di kampung mereka apabila ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dalam sebuah bot pancung kirakira 1.3 batu nautika dari Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi Jumaat lalu.

Turut ditahan ialah seorang tekong dan dua pembantu bot yang juga warga negara tersebut.

Bot tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh empat anggota PGM yang membuat rondaan Ops Octupus dengan sebuah bot laju di perairan terbabit.

Komander PGM Wilayah Dua ACP Mohd Khamsani Abd Rahman dalam kenyataannya berkata bot pancung berkenaan cuba melarikan diri sehingga memaksa anggotanya mengejar sebelum berjaya dipintas 20 minit kemudian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua 28 lelaki dan 13 wanita serta seorang tekong dan dua pembantunya yang berusia antara 21 hingga 46 tahun itu adalah rakyat Indonesia dan mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Mohd Khamsani berkata pihaknya percaya bot pancung berkenaan dalam perjalanan ke Indonesia selepas berlepas dari sebuah pengkalan haram bagi membawa pulang PATI untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tiga lama lagi.

Katanya semua ditahan mengikut Akta Imigresen 1953/1967 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Semua PATI dibawa ke balai polis Pengerang sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain