suria

Dakwaan 9 ADUN Umno Terengganu lompat parti tidak benar - Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh percaya desas-desus kononnya sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Umno Terengganu, termasuk Datuk Rosol Wahid akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tidak benar.

Idris yang juga ADUN Jerteh, menolak dakwaan itu kerana beliau tidak nampak sebarang reaksi yang mencurigakan daripada kesemua ADUN tersebut, terutamanya Rosol, yang duduk di sebelahnya dalam Dewan Undangan Negeri.

"Pada pendapat saya, telahan itu tidak benar, malah semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri mereka pakai baju biru... biru Barisan Nasional (BN) bukan biru muda dan ia tidak dirancang. Ini menunjukkan mereka masih menyokong kuat BN," kata Pengerusi Mara itu selepas merasmikan sambutan kemerdekaan ke-52 Malaysia peringkat Ibu Pejabat Mara di sini semalam.

Semalam, Rosol dilaporkan telah menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau dan lapan lagi ADUN bercadang meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.

Di PUTRAJAYA, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kadangkala isu yang dibangkitkan tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi.

"Kita lihat rakyat dan ahli-ahli Umno masih lagi begitu padu, tidak menimbulkan keadaan yang sukar dan saya bersyukur kerana kali ini dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, tidak ada keskes ahli-ahli kita tidak hadir dewan," katanya.

"Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada mereka. Ini satu petanda awal yang baik untuk kita memartabatkan balik dan menyuntik semangat di kalangan pemimpin kita," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Kementerian Dalam Negeri di sini. BERNAMA

Artikel Lain