suria

Amerika belum buat keputusan mengenai nasib tahanan Malaysia

PHUKET: Dua rakyat Malaysia disyaki pengganas yang ditahan di Teluk Guantanamo, yang akan ditutup tidak lama lagi, akan terus berada di pusat tahanan itu sehingga Amerika Syarikat melengkapkan siasatannya, kata Menteri Luar Datuk Anifah Aman pada Khamis.

Beliau berkata Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton memberitahu beliau bahawa siasatan masih belum selesai.

"Sebaik sahaja siasatan selesai, mereka akan memaklumkan kepada kita apa yang akan dilakukan terhadap suspek itu," katanya kepada media Malaysia selepas berakhirnya Forum Serantau Asean (ARF) ke16 di sini.

Anifah berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan Clinton di luar ARF. Isu dua rakyat Malaysia, Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie), yang ditahan di Teluk Guantanamo kerana didakwa terbabit dalam kumpulan militan Jemaah Islamiah dan AlQaeda sejak 2003, mula dibangkitkan dalam pertemuan mereka di Washington.

Anifah berkata beliau turut memberitahu Clinton bahawa Malaysia sedang menyiasat dakwaan Washington berhubung kes penyeludupan manusia di Malaysia dan penahanan sembilan orang, termasuk lima pegawai Jabatan Imigresen Johor kerana didakwa terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia antarabangsa.

"Kami tidak mengatakan perkara itu berlaku tetapi kami juga tidak mengatakan ia tidak berlaku," katanya.

Hakikatnya, kata Anifah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun meminta agensi yang berkaitan supaya menyiasat dakwaan itu, dan penahanan itu hasil daripada siasatan berkenaan.

Bulan lepas, Laporan Penyeludupan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat 2009 meletakkan semula Malaysia dalam senarai negara yang tidak berusaha secukupnya untuk memerangi penyeludupan manusia, bersama-sama dengan enam negara Afrika iaitu Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland dan Zimbabwe.

Mengenai laporan yang disiarkan oleh akhbar Bangkok Post bahawa Kumpulan Mujahideen Malaysia kini bersembunyi di selatan Thailand dan melatih pemberontak di sana, Anifah berkata ia hanya sekadar dakwaan dan tidak disokong dengan apa-apa bukti.

Anifah turut memaklumkan kepada ARF bahawa keganasan tidak seharusnya dikaitkan dengan manamana negara, etnik kaum dan agama.

Katanya, beliau menghulurkan jemputan kepada Clinton untuk melawat Malaysia, sambil menambah bahawa bekas Wanita Pertama itu memberitahunya bahawa beliau menimbangkan untuk berkunjung ke Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain