suria

AG: Inkues memadai, diadakan ikut undang-undang

PETALING JAYA: Kerajaan menubuhkan inkues dan Suruhanjaya Diraja ekoran kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock kelmarin mengikut lunas perundangan bagi mencari kebenaran dan keadilan bagi semua pihak.

Oleh itu kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, inkuiri oleh majistret untuk mengetahui punca kematian Teoh mengikut Kanun Tatacara Jenayah adalah cara yang sesuai bagi kes-kes seperti itu.

"Di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah, seorang majistret boleh mengenepikan inkuiri jika beliau berpuas hati dengan punca kematian tetapi dalam semua kes lain adalah mandatori bagi majistret untuk mengadakan inkuiri; lebih-lebih lagi dalam keskes sebegini yang melibatkan kematian mengejut.

"Mengadakan inkuiri serupa oleh Suruhanjaya Diraja akan mewujudkan pertindihan.

"Dalam kes Teoh Beng Hock, saya telah mengambil tindakan di bawah seksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkuiri bagi mengetahui punca dan keadaan yang ada kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock dan Majistret wajib mengadakan inkuiri itu," katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah jelas bahawa ia cara yang memadai dan saluran yang sesuai yang disediakan oleh undang-undang bagi kes-kes sebegini.

Selain itu, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Fungsi Suruhanjaya Diraja ini tidak harus dikelirukan dengan inkuiri di bawah Kanun Tatcara Jenayah, katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, langkah mengadakan siasatan yang serupa oleh Suruhanjaya Diraja akan mewujudkan pertindihan.

Peguam Negara menambah, kedua-dua saluran tersebut akan menjawab kesemua aspek yang menjadi perhatian kerajaan dan juga rakyat jelata.

Ketika banyak pihak mahukan Suruhanjaya Siasatan Diraja diadakan dengan skop yang lebih luas, Gani memberitahu, "apa yang penting ialah kita mematuhi undang-undang negara."

"Demi keadilan, kepentingan kerajaan dan orang ramai mesti ditangani. Siasatan di bawah Kanun Tatacara Jenayah diadakan oleh undang-undang dan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah mekanisme untuk mencari kebenaran secara adil dan saksama," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini.

Rabu lepas, Kabinet memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh, 30.

Ia akan mula bersidang Rabu ini. Suruhanjaya Diraja juga diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini, Khamis minggu lepas, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

TPM: PELBAGAI ANDAIAN

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak berhenti daripada membuat pelbagai andaian berhubung penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat prosedur siasatan SPRM terhadap Teoh dan menghormati institusi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka harus menghormati institusi itu sebagai sebuah badan bebas yang tidak menerima tekanan daripada manamana pihak dan menerima segala keputusan suruhanjaya itu kelak tanpa sebarang prasangka.

"Saya mahu mereka sentiasa menghormati dan memberi keyakinan kepada institusi yang ditubuhkan itu dan tidak membuat pelbagai andaian yang berat sebelah kerana semua pihak mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Kita mesti yakin kepada ketelusan dan kebebasan suruhanjaya itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan bersama rakyat di Masjid Jamek Simpang Enam, Jalan Macalister, Pulau Pinang hari ini.

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu dikehendaki oleh banyak pihak termasuk keluarga Teoh sendiri dan biarlah ia melaksanakan tugasnya sehingga selesai.

Beliau berkata, anggota suruhanjaya itu akan diumumkan dalam masa terdekat supaya ia dapat memulakan tugasnya dengan segera.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain