suria

H1N1: Sekolah Assunta juga ditutup

DITUTUP..Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN
 DITUTUP..Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN
DITUTUP..Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kementerian itu juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah iaitu Sri Cempaka International School di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata arahan tutup sekolah dan tiga buah kelas itu berkuatkuasa selama satu minggu sejajar dengan langkah yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak Selesema Babi (Influenza A)(H1N1).

Dr Mohd Ismail berkata ibu bapa kepada pelajar di sekolah-sekolah terbabit diminta memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam.

"Ibu bapa dan ahli keluarga kepada anak-anak yang diletak di bawah kuarantin di rumah boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Bagaimanapun ibu bapa dan ahli keluarga kepada kes yang disahkan positif hendaklah menjalani kuarintin di rumah seperti yang diarahkan oleh kementerian," katanya.

Sehingga ini sejumlah 42 kes daripada 58 yang disahkan positif selesema babi masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (22), Hospital Kuala Lumpur (7), Hospital Tuanku Jaafar Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (3), Hospital Pulau Pinang (2) dan Hospital Ipoh (1).

Dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 80 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara.

Sehingga pukul 9 malam tadi jumlah kes terkumpul yang disiasat adalah 1,320. Semalam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Jalan Davidson di sini, dan satu daripada kelas di Sekolah Menengah Wangsa Maju juga di Kuala Lumpur, ditutup selama seminggu kerana wujudnya penularan tempatan selesema babi.

Mengenai murid Sekolah Assunta yang merupakan kes jangkitan tempatan ketujuh, Dr Mohd Ismail berkata pelajar itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya murid itu mengadu demam, batuk dan sakit tekak dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam dan disahkan positif hari ini.

"Kes ini adalah yang kedua di kalangan pelajar sekolah berkenaan tetapi berlainan kelas dan kementerian sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kesihatan pelajar terjamin," katanya.

Dr Mohd Ismail menasihatkan pelajar Malaysia dan mereka yang baru kembali dari bercuti di luar negara yang berasa kurang sihat atau ada tanda-tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam, supaya segera mendapatkan rawatan selain mengurangkan pergaulan termasuk mengelak daripada menghadiri kelas atau bekerja.

"Kita harap dengan cara ini ia dapat mengelakkan penularan penyakit di sekolah dan di tempat kerja yang boleh melibatkan penularan jangkitan tempatan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain