suria

Jenayah kolar putih boleh jejas ekonomi negara - KPN

KUALA LUMPUR: Jenayah kolar putih lebih menggerunkan berbanding jenayah konvensional kerana ia boleh menjejaskan prestasi kewangan sesebuah organisasi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata jenayah kolar putih atau jenayah ekonomi bukan hanya membabitkan individu terbabit, tetapi ia telah menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Oleh itu kerajaan begitu prihatin dengan isu berhubung jenayah kewangan, penipuan dan rasuah, katanya.

"Sekiranya dibiar, jenayah kolar putih boleh membawa kesan negatif terhadap integriti institusi kewangan dan perniagaan negara dan keupayaan agensi penguat kuasa dalam mengurus dan menyiasat kes penyelewengan kewangan.

"Akhirnya ia boleh menghakis keyakinan ahli perniagaan tempatan dan asing untuk melabur di dalam negara," katanya semasa merasmikan Seminar Perakaunan Forensik dan Kriminologi Kewangan di sini semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Koh Hong Sun.

Musa berkata krisis kewangan global sekarang memerlukan penyelesaian untuk meminimum dan mengurangkan jenayah kolar putih yang dijangka meningkat berikutan situasi ekonomi semasa.

"Sama ada kolar biru atau putih, penjenayah mencari sasaran mudah. Selalunya tindakan penjenayah adalah berdasarkan peluang yang dihidangkan oleh mangsa.

"Bagi jenayah kolar putih, pemantauan dan pelaksanaan sistem kawalan dalaman dan prosedur kewangan yang lemah serta ketidakcekapan transaksi kewangan, merupakan faktor utama kepada peningkatan jenayah kolar putih," katanya.

Beliau berkata jenayah kolar putih meningkat 70.3 peratus tahun lalu atau 7,151 kes berbanding 10,160 kes pada tahun sebelumnya. BERNAMA

Artikel Lain