suria

Tindakan tutup tabika Kemas hampir cetus pergaduhan

PELABUHAN KLANG: Seramai 43 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Blok I, Flat Seri Perantau di sini terpaksa memulakan pembelajaran di bawah khemah selepas Jawatankuasa Komuniti Blok itu bertindak mengunci pusat pembelajaran berkenaan Isnin.

Tindakan itu dibuat setelah jawatankuasa itu didakwa tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan Tabika berkenaan yang dikatakan tidak melangsaikan tunggakan sewa sejak lima bulan lalu yang berjumlah RM2,500.

Ekoran itu 40 penduduk flat berkenaan berkumpul dan mendesak supaya Tabika itu dibuka semula, sehingga mengakibatkan hampir berlaku pergaduhan.

Namun ketegangan itu berakhir apabila wakil jawatankuasa komuniti blok itu bersetuju membuka semula Tabika berkenaan kira-kira pukul 11 pagi melalui satu rundingan bersama Jawatankuasa Tabika Kemas Blok I, Flat Seri Perantau.

Pengerusi jawatankuasa Tabika itu Che Li Abdul Hamid, 49, menyifatkan tindakan Jawatankuasa Komuniti blok itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia seolah-olah satu cubaan untuk menghalang murid-murid mendapatkan pendidikan.

Menurut beliau Tabika berkenaan yang dibangunkan sejak dua tahun lepas tidak pernah menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak berhubung dengan bayaran sewa.

"Saya tidak faham dengan tindakan keterlaluan Jawatankuasa Komuniti Blok I ini merantai pintu Tabika supaya tidak dibuka kepada murid-murid sejak pukul 7.30 pagi ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

"Pada tahun 2007, kami sudah pohon untuk mewujudkan Tabika di blok ini daripada Kemas dengan syarat ada tempat untuk beroperasi. Malah, dalam tahun itu juga PKNS dan MPK meluluskan satu tempat iaitu di bawah blok ini untuk dijadikan Tabika tanpa sebarang bayaran sewa manakala peruntukannya diperoleh terus daripada Kemas," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain