suria

Suri rumah dibunuh, tiada kaitan pergaduhan mat motor

IPOH: Polis menjumpai mayat seorang suri rumah dalam keadaan tertiarap dalam bilik rumahnya di Taman Kamunting Maju, Kamunting, dekat Taiping malam tadi.

Sepasukan polis yang dikejarkan ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan kira-kira pukul 9 malam, mendapati mangsa, M. Kanamah, 35, tertiarap di atas lantai dengan berlumuran darah dan dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak berkata, polis turut menemui suami mangsa berusia 37 tahun dengan luka di lengan dan menghantarnya ke Hospital Taiping (HT) untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Sepasukan anggota polis bahagian forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dipanggil bagi menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi.

Raja Musa berkata, siasatan awal polis menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

Semasa kejadian hanya pasangan itu berada di rumah, manakala anak lelaki mereka berusia dua tahun mengikut neneknya ke Ipoh, katanya.

Raja Musa berkata, pembunuhan ini tidak ada kaitan dengan kes gaduh dua kumpulan remaja Mat Motor di Kafe Siber, Kamunting Jaya pada malam Isnin 8 Jun lalu.

Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) konon perkara sebaliknya berlaku. BERNAMA

Artikel Lain