suria

Kos projek PKFZ mungkin meningkat RM12.453 bilion.

KUALA LUMPUR: Kos projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) meningkat kepada RM7.453 bilion termasuk faedah berbanding kos asal sebanyak RM1.957 bilion.

Tidak termasuk faedah, projek itu kini bernilai RM3.522 bilion, demikian menurut laporan firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) bertajuk "Kajian Semula Kedudukan Projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd" yang disiarkan menerusi laman web PKA hari ini.

PwC berkata, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) operator PKFZ perlu mengambil tindakan segera untuk menyusun semula pinjaman mudah Kementerian Kewangan (MOF) berjumlah RM4.632 bilion bagi mengelak potensi ingkar pada 2012.

Jika PKA gagal membayar balik ansuran pinjaman mudah MOF, ia akan meningkatkan lagi kos projek kepada RM12.453 bilion, kata PwC.

PKA menjangkakan ia akan mengalami defisit tunai kumulatif pada 2012 dan tidak dapat membayar balik ansuran pinjaman seperti yang ditetapkan.

"Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah bersepadu bagi memastikan PKFZ kembali berdaya maju," katanya.

PwC berkata projek itu bertujuan mengubah Pelabuhan Klang sebagai hab muatan negara dan pusat pemindahan ke kapal serantau, namun "akibat kos projek yang besar, tadbir urus yang lemah dan pengurusan projek yang lemah, menjejaskan daya maju projek itu."

Pengurusan dan kawalan projek PKA sangat lemah.

Kabinet meluluskan projek itu pada 1999.

PKA tidak mampu memenuhi obligasinya kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) menerusi sumbernya sendiri semasa pembayaran berjadual pertama pada 2007.

Ia memperoleh pinjaman mudah 20 tahun berjumlah RM4.632 bilion daripada MOF, dengan RM4.382 bilion sedia digunakan.

"Pinjaman akan mengenakan kos faedah tambahan sebanyak RM2.506 bilion menyebabkan jumlah kos projek itu RM7.453 bilion," kata PwC.

PKA membeli hak tanah pada harga RM25 satu kaki persegi kerana tanah itu dikatakan mempunyai nilai istimewa, namun Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Ogos 2001 menetapkan nilainya pada RM10.16 satu kaki persegi (psf) berdasarkan pengambilaihan wajib.

"Ia berkemungkinan membabitkan kos RM442 juta berbanding harga belian pada RM1.088 bilion (iaitu RM25 psf).

Firma audit itu berkata KDSB "mungkin telah mengenakan caj berlebihan kepada PKA dengan faedah antara RM51 juta dan RM309 juta bersabit dengan pembelian tanah dan tanah itu diperoleh berdasarkan harga istimewa yang melebihi nilai pasaran."

PwC berkata PKA dan Kementerian Pengangkutan (MOT) juga gagal memaklumkan kepada Kabinet mengenai ketidakupayaan PKA untuk membiayai projek itu daripada peruntukan sendiri.

"PKA menyedari bahawa ia tidak mampu memenuhi syarat Kabinet supaya membiayai sendiri projek itu dan PKA perlu memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkara penting itu," katanya.

Yang memburukkan lagi keadaan, PKA telibat dalam satu lagi perjanjian pembangunan lain selepas itu, kata PwC.

PwC berkata ia juga tidak dimaklumkan mengenai perundingan projek utama selain "variation orders (VOs)" berjumlah RM62.5 juta.

Pengawasan dan pemantauan diabaikan seperti Peguam Negara (AG) tidak menyemak perjanjian walaupun jumlah peruntukan yang terlibat sangat besar serta kurangnya pengalaman PKA dalam projek seperti itu, manakala garis panduan Perbendaharaan bagi memeriksan perjanjian oleh AG serta kelulusan VO oleh MOF tidak dipatuhi.

"Surat-surat sokongan yang dianggap sebagai jaminan, dikeluarkan oleh MOT tanpa kelulusan MOF.

PwC berkata kontrak pembangunan bernilai RM1.846 bilion diberikan kepada KDSB tanpa bidaan yang kompetitif.

KDSB ialah kontraktor pasang siap yang membangunkan infrastruktur itu dan menyiapkan projek PKFZ bernilai berbilion ringgit itu.

KDSB ialah bekas pemilik tanah projek PKFZ dibangunkan.

PwC berkata "wujud konflik kepentingan hasil pembabitan pihak-pihak yang sebelum ini dikaitkan dengan sama ada tanah atau KDSB".

"Kami juga patut menyebut mengenai penggantungan PKA terhadap kelulusan pejabat kerajaan seperti Kabinet, MOT dan perdana Menteri," katanya.

Walaupun kelulusan itu penting, lembaga masih mengekalkan tanggungjawab keseluruhan untuk mengurus PKA secara profesional.

"Ia sepatutnya termasuk tanggungjawab untuk tidak menandatangani perjanjian yang mengancam daya maju kewangan jangka panjang PKA," katanya.

PwC juga berkata pendudukan sebenar projek itu pada 14 peratus adalah rendah dan tidak menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi.

"Kerajaan perlu mengambil pendekatan bersepadu membabitkan sebilangan agensi bagi menjadikan PKFZ sebagai projek yang berdaya maju dari segi kewangan," kata PwC.

Ia berkata aktiviti utama KDSb, anak syarikat milik penuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB), ialah pembangunan hartanah dan pembinaan.

WBHSB dan syarikat kumpulan itu terlibat dalam projek menebus guna laut, pembinaan, pengorekan, pembangunan hartanah dan pengangkutan marin.

Sehingga 16 Jan 2009, pemegang saham WBHSB melibatkan Datuk Seri Tiong King Sing yang menguasai 70 peratus ekuiti, Idris Mat Jani (10 peratus) dan Omar Abdul Latip (20 peratus).

Pengarah KDSB ialah Tiong, Idris, Omar dan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

PwC juga berkata banyak pihak terlibat sama ada dengan tanah atau KDSB yang mungkin menimbulkan koflik kepentingan.

Ia bekata Datuk Abdul Rahman, yang juga ahli lembaga dari 1997 hingga 2003, mengumumkan kedudukannya pada satu mesyuarat sebagai Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd yang juga pemilik asal tanah itu.

Seorang lagi, Datuk Chor Chee Heung, yang merupakan timbalan pengerusi bukan ekseutif Wijaya Baru Global Bhd (WBGB) dari April 2004 hingga Julai 2007 dan Pengerusi PKA dari April 2007 hingga Mac 2008.

Pada Februari 2008, akaun akhir bagi DA3 (Perjanjian Pembangunan 3) sebanyak RM1.216 bilion diluluskan oleh lembaga.

KDSB menjalankan kerja-kerja pembinaan di bawah DA3 antara Julai 2004 dan November 2006, semasa Chor merupakan pengerusi bukan eksekutif WBGB.

Minit lembaga pengarah tidak menyatakan bahawa Chor sama ada mengumumkan penglibatan beliau sebelum ini dalam WBGB kepada lembaga atau menarik diri daripada perbincangan.

WBGB dan KDSB berkait melalui pengarah dan pemegang saham yang sama.

WBGB dan syarikat induk KDSb, Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd, berkongsi pemegang saham yang sama dan merupakan kontraktor utama KDSB untuk projek itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain