suria

Cadangan hapus sistem kuota di perhimpunan Umno hujung tahun

PUTRAJAYA: Cadangan untuk menamatkan sistem kuota pencalonan bagi pemilihan Umno akan dibincangkan dan diputuskan pada satu perhimpunan khas parti penghujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan parti yang bermesyuarat hari ini.

"Sebaik diluluskan, perlembagaan parti serta merta akan dipinda," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, dengan penghapusan sistem kuota, sesiapa sahaja anggota parti yang merasakan diri mereka layak, boleh menawarkan diri di semua peringkat.

"Ia dilihat sebagai satu usaha lebih telus, bebas serta memberi peluang kepada sesiapa saja untuk tawar diri dan mendapat tempat jika ada sokongan daripada ahli," katanya.

Berdasarkan sistem kuota itu, kelayakan untuk bertanding jawatan Presiden ialah sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian UMNO, Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan anggota Majlis Tertinggi (lima peratus).

Hishammuddin berkata, jawatankuasa berkenaan turut menimbang cadangan supaya mesyuarat pemilihan di semua peringkat bahagian diadakan serentak dengan melibatkan 60,000 anggota.

"Ia dilihat lebih realistik dari segi logistik berbanding pelaksanaan mesyuarat serentak di peringkat cawangan yang melibatkan jumlah ahli yang besar, iaitu 3.4 juta orang," katanya.

Mengenai Umno Terengganu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri itu, malam tadi mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Umno negeri itu dan mereka sepakat bahawa sebarang persepsi mengenai perpecahan dalam Umno di negeri itu perlu dihapuskan segera.

"Alhamdulillah, semua pihak sedar bahawa kepentingan parti dan negeri diberikan keutamaan. Persepsi sama ada benar atau tidak berlaku perpecahan dan wujud puakpuak tertentu dalam parti perlu dikikis," katanya.

Menurut beliau semua pihak turut bersetuju bahawa matlamat perjuangan parti hanya akan tercapai sekiranya Umno terus berpegang kepada perkara seperti kesetiaan kepada Raja, akur kepada pucuk pimpinan dan negara serta mengutamakan masa depan rakyat.

Hishammuddin turut mengarahkan kepimpinan Umno negeri itu supaya turun ke bahagian masing-masing untuk menyampaikan mesej itu kepada akar umbi.

"Ini merupakan titik permulaan kepada penyusunan dan merapatkan semula barisan di Terengganu sebagai persediaan menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain