suria

Belum ada arahan larang rakyat Malaysia jalani umrah

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom hari ini menafikan laporan bahawa kerajaan Arab Saudi menghentikan sementara pengeluaran visa mengerjakan umrah kepada rakyat Malaysia berikutan kes influenza A (HINI) yang dikesan di negara ini.

Beliau berkata sehingga hari ini belum ada larangan dari Arab Saudi untuk rakyat negara ini mengerjakan umrah dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana sehingga semalam visa umrah masih diluluskan serta semua urusan mengerjakan umrah berjalan lancar.

"Kita dah periksa dengan pejabat kita di Mekah malam tadi dan pagi tadi belum ada sebarang maklumat yang mengatakan visa mengerjakan umrah dari negara kita dihentikan atau ditarik balik," katanya kepada pemberita selepas melawat projek kompleks masjid di Percint 3 di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik akhbar Arab News bahawa visa mengerjakan umrah tidak dikeluarkan kepada rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga membendung HINI.

Mengenai kenaikan tambang haji musim ini, Jamil Khir berkata kenaikan sebanyak 11 peratus yang diumum Tabung Haji itu adalah munasabah dan perlu diterima semua pihak memandangkan Tabung Haji masih memberi subsidi sebanyak 26 peratus daripada perbelanjaan sebenar.

"Walaupun kadar tambang dinaikkan, Tabung Haji masih menanggung sekurang-kurangnya RM70 juta subsidi untuk musim haji kali ini," katanya.

Tabung Haji dalam kenyataannya Jumaat lepas mengumumkan kadar tambang haji akan dinaikkan berikutan peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan. Ini bermakna bakal jemaah akan dikenakan banyaran sebanyak 9,980 seorang berbanding RM8,973 ketika ini.

Jamil Khir berkata kenaikan tambang itu tidak dapat dielak berikutan kos penginapan, pengangkutan dan makanan di Mekah telah meningkat.

Mengulas mengenai saranan Mufti Besar Mesir Sheikh Ali Jumua agar ulama di semua negara Islam mengeluarkan fatwa bersama bagi menangguhkan ibadah haji tahun ini berikutan wabak HINI, Jamil Khir berkata ia sekadar cadangan.

"Kadangkala sesuatu cadangan itu boleh diimplementasi atau sebaliknya. Musim haji pun lambat lagi pada November...mungkin pada ketika itu wabak berkenaan sudah dapat diatasi, kita berdoalah moga ia tidak berterusan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain