suria

Janin ditemui mati dalam loji kumbahan

KAJANG: Janin sebesar tapak tangan ditemui terapung di dalam loji kumbahan najis di Seksyen 4, Bandar Rinching di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood berkata janin yang dipercayai lelaki itu ditemui pekerja loji berkenaan yang sedang membersihkan kawasan kumbahan berkenaan pada kirakira pukul 1.30 petang.

"Janin berkenaan dipercayai dibuang di dalam loji kumbahan. Kami sedang siasat siapa yang bertanggungjawab membuang janin itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata janin itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mendakwa dicabul teman lelaki ibunya sendiri di Desa Baiduri di sini.

Mohd Shakarudin berkata kanak-kanak itu mengadu dirinya dicabul oleh lelaki terbabit ketika ibunya, seorang tukang cuci, keluar bekerja.

Beliau berkata lelaki itu dikatakan sering mengunjungi rumah mangsa pada waktu pagi sebelum kanak-kanak itu ke sekolah pada sesi petang.

Sehubungan itu, polis kini mencari seorang lelaki berusia 50 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membantu siasatan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain