suria

Pemuda Umno Bukit Bintang gesa media pastikan kerjasama kaum

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang menggesa media tempatan supaya menjadi benteng utama dalam memastikan semua kaum bekerjasama, bukannya lebih mengeruhkan keadaan melalui laporan-laporan yang disiarkan.

Ketuanya, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, akhbar-akhbar tempatan dan media elektronik harus menumpukan kepada penekanan nilai persamaan antara kaum dalam mencapai matlamat Satu Malaysia.

"Perkembangan mutakhir dalam peningkatan laporan mengenai perkara-perkara yang menimbulkan syak wasangka antara satu kaum dan kaum yang lain ini amat membimbangkan dan boleh menyimpang daripada mencapai matlamat Satu Malaysia.

"Laporan konstruktif berasaskan perpaduan dan kerjasama antara kaum harus diberi keutamaan agar dapat menjadi contoh kepada rakyat jelata terutama kepada golongan muda.

"Masa hadapan kita bergantung kepada kerjasama yang jitu dan akrab antara kaum," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Azman berkata, semua rakyat berbilang kaum diharap dapat bergerak sebagai Satu Malaysia dalam usaha mengatasi krisis ekonomi yang kian meruncing ketika ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain