suria

Dua maut motosikal diheret lori tanah

KAJANG: Dua pelajar maut apabila motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah lori di Kampung Bahagia, Bandar Bangi Lama, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 petang itu, Noor Hasyyati Hamid, 23, dan Siti Rahmah Mohd Sani, 21, dari Institut Jerman-Malaysia yang sedang menunggang dan membonceng motosikal dirempuh sebuah lori dari belakang.

Ketua Polis Kajang, ACP Shakaruddin Che Mood berkata lori berkenaan yang dikatakan keluar dari sebuah tapak pembinaan, hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang dinaik kedua-dua pelajar itu.

"Lori tanah itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dan mengheret mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga mereka terhumban ke dalam longkang," katanya.

Pelajar yang masing-masing berasal dari Merlimau, Melaka dan Kampung Repek, Kelantan itu mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Polis menahan pemandu lori yang berusia 55 tahun itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain