suria

Polis tumpas sindiket dadah di Jerantut

KUANTAN: Polis percaya telah menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah Jerantut dengan tertangkapnya tiga orang termasuk sepasang kekasih yang dipercayai pengedar dadah Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan berkata, polis turut merampas 137 gram dadah jenis syabu dalam bentuk tiub dan enam gram ganja, kesemuanya bernilai hampir RM100,000 selain wang tunai berjumlah RM5,000 di sebuah rumah di Taman Teow Soon.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat daripada orang awam telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki dua lelaki berumur 28 dan 31 tahun di bandar Jerantut pada 11.35 pagi.

"Ketika memeriksa kereta tersebut, polis berjaya menemui empat gram dadah jenis syabu di dalam laci kereta itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, ekoran penemuan itu, polis kemudian menyerbu rumah sewa mereka dan menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang merupakan teman wanita salah seorang lelaki berkenaan selain menemui dadah terbabit.

"Ini merupakan penangkapan terbesar di Jerantut sejak awal tahun ini dan kita percaya mereka menerima bekalan dadah tersebut untuk dipasarkan terutama kepada golongan muda sekitar daerah ini," katanya.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. BERNAMA

Artikel Lain