suria

Dua pengarah didapati bersalah keluar RM50 juta akaun Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Dua pengarah Metrowangsa Asset Management Sdn Bhd (MAM) Ghazali Atan dan Mohamed Abdul Wahab yang dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun amanah Tabung Haji didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Rosenani Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi dan hujahan peguam bela masing-masing di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya Rosenani berkata terdapat peranan aktif Mohamed terhdap pemindahan wang itu dan pendakwaan telah membuktikan kedua-dua tertuduh dengan sedar membenarkan pemindahan wang itu dibuat.

Ghazali dan Mohamed, dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun berkenaan yang diselenggarakan oleh syarikat itu di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, di sini bagi membuat pembayaran kepada Mimos, bukan pihak yang berhak ke atas wang tersebut.

Kedua-duanya yang berusia 55 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di C12A1&2, Jalan Selaman 1, Palm Square, Ampang, Selangor antara 18 April dan 24 Mei tahun 2001.

Kedua-dua tertuduh yang berada di dalam kandang kelihatan tenang sepanjang keputusan dibacakan.

Bagaimanapun, Mohamed yang menghadapi dua lagi pertuduhan dilepas dan dibebas setelah Rosenani mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mohamed sebelum ini didakwa mengemukakan dua pernyataan yang mengelirukan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam laporan tahunan separuh tahun Metrowangsa bagi tahun 2000 dan 2001 membabitkan nilai aset bersih korporat berjumlah lebih RM124.2 juta dan RM102 juta.

Keduadua pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh Mohamed pada 13 Jan dan 19 Julai 2001 di Suruhanjaya Sekuriti di No. 3 Persiaran Bukit Kiara, Bukit Kiara di sini.

Rosenani berkata ketika pembelaan, Mohamed memberitahu bahawa dia yakin dengan data-data yang dimasukkan dan tiada sebarang arahan daripadanya tentang pemilihan data untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Katanya, sepanjang perbicaraan juga Mohamed berkata ia adalah data yang betul mengikut kehendak Suruhanjaya Sekuriti.

Perbicaraan di peringkat pembelaan hanya melibatkan dua saksi iaitu kedua tertuduh sendiri manakala pendakwaan memanggil 19 orang saksi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shanti Geoffrey manakala Ghazali diwakili peguam Md. Yunos Shariff dan Mohamed pula diwakili peguam P. Subramaniam.

Rosenani menetapkan 7 April untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman terhadap keduadua tertuduh. BERNAMA

Artikel Lain