suria

Kematian doktor pakar, polis tolak unsur jenayah

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menolak wujud unsur jenayah berhubung kes kematian dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Puteri di Bukit Tabuh, Ampang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamiluddin berkata hasil laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur juga mendapati tiada kesan kecederaan pada badan kedua-dua mereka yang boleh disabit dengan perbuatan jenayah.

"Tidak ada unsur jenayah walaupun terdapat kesankesan lebam pada badan kedua-dua mangsa tetapi itu kesan akibat terjatuh dari lereng bukit. Kami juga tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Dr Haliza Mohd Shafie, 53, dan Dr Amin Tai Abdullah, 57, mendapati mereka mengalami kecederaan berganda akibat terjatuh dari ketinggian kira-kira 180 hingga 200 meter.

Amiruddin berkata keduadua mereka mengalami kecederaan teruk di kepala dan leher serta terdapat kesan luka di beberapa bahagian anggota badan yang lain.

"Kami dapati Dr Amin Tai mengalami patah tulang leher. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Semalam, Dr Haliza dan Dr Amin Tai ditemui mati oleh pasukan penyelamat di Bukit Tabuh, Taman Melawati dekat Ampang di sini selepas dilapor hilang sejak Rabu lepas.

Mayat keduadua mereka ditemui pada pukul 2.15 petang semalam, kira-kira enam meter antara satu sama lain.

Dr Haliza dan Dr Amin Tai yang gemar mendaki bukit dipercayai ke bukit itu untuk melakukan latihan pendakian sebelum aktiviti sebenar yang dijadual tiga minggu lagi. BERNAMA

Artikel Lain