suria

Polis tembak mati tiga penjenayah di Bukit Merah

TAIPING: Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah ganas dan berbahaya yang dipercayai terlibat dalam kes menembak mati dua pekerja Pasar Raya Tesco, Bukit Mertajam pada 18 Mac lepas dalam dua insiden berasingan di Bukit Merah dekat sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata dalam insiden pertama pada 1.40 tengah hari semalam, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menerima maklumat orang awam berjaya mengesan sebuah kereta Toyota Camry yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Plaza Tol Bukit Merah.

"Semasa pasukan polis cuba menahan kenderaan tersebut bagi pemeriksaan, pemandu kenderaan itu dengan sengaja merempuh kereta Proton Waja dan Nissan Sentra pasukan polis. Maka pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan kepada kenderaan ini menyebabkan kenderaan penjenayah terbabas di bahu jalan dan merempuh tiang elektrik.

"Ketiga-tiga penjenayah cuba melarikan diri namun pasukan polis mengejar dan berjaya menangkap mereka. Pemeriksaan polis mendapati salah seorang penjenayah mengalami kecederaan di pinggang," katanya pada sidang media di MarTek pilihan raya kecil Bukit Gantang di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua penjenayah yang ditangkap berumur antara 27 dan 31 tahun yang dipercayai berasal dari Kedah dan Johor, mempunyai tidak kurang lima rekod jenayah lampau membabitkan kes samun serta curi.

Zulkefli berkata seorang anggota polis cedera ringan di kaki dan tangan akibat rempuhan kereta penjenayah berkenaan. Polis menemui beberapa nombor pendaftaran kenderaan dipercayai palsu dan satu topeng muka berwarna hitam hasil pemeriksaan ke atas kenderaan penjenayah berkenaan.

Beliau berkata polis yang membuat tindakan susulan hasil penangkapan tiga penjenayah itu terserempak dengan sebuah lagi Toyota Camry yang juga dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bukit Merah Laketown Resort pada 2.30 petang semalam.

"Polis cuba menahan kereta itu untuk pemeriksaan tetapi ibatiba penjenayah dalam kereta tersebut melepaskan tembakan. Polis yang membalas tembakan untuk mempertahankan diri berjaya menembak mati kesemua penjenayah terbabit," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kesemua penjenayah yang ditembak mati itu berumur antara 27 dan 35 tahun yang dipercayai berasal dari Melaka dan Johor serta mempunyai tidak kurang sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kes samun bersenjata api dan bunuh.

Polis berjaya merampas tiga pucuk pistol, 154 butir peluru pelbagai jenis dan wang tunai RM159,000 dalam sebuah beg hasil pemeriksaan ke atas kenderaan penjenayah itu," katanya.

Zulkefli berkata polis percaya telah berjaya menyelesaikan tidak kurang 15 kes samun bersenjata api di Perak, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor dengan tumpasnya kumpulan penjenayah ganas tersebut yang 'trigger happy' walaupun tanpa provokasi daripada mangsa mereka.

"Kumpulan ini juga kita percaya terlibat dalam kes samun kedai emas di mana yang terbaru ialah di Kedai Emas Poh Kong, Pasar Raya Tesco Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada 18 Mac lepas," katanya.

Beliau berkata polis ketika ini sedang menjejaki saki baki kumpulan penjenayah tersebut selain mengenal pasti identiti sebenar penjenayah yang telah ditembak mati dan ditangkap semalam.

Zulkefli berkata polis amat menghargai maklumat yang diberikan oleh orang awam sehingga tumpasnya kumpulan penjenayah itu dan berharap lebih ramai lagi yang akan tampil menyalur maklumat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain