suria

Mufti nasihat Adnan tidak teruskan mubahalah

KUANTAN: Datuk Seri Adnan Yaakob tidak akan meneruskan mubahalah dengan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang mendakwa wujud campur tangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang itu dalam pemilihan Umno bahagian berkenaan, tahun lepas.

Adnan berkata, beliau telah dinasihatkan oleh Mufti Negeri, Datuk Abdul Rahman Osman supaya tidak meneruskan mubahalah itu kerana sebab-sebab tertentu.

"Saya difahamkan ada pihak yang akan menasihatkan Datuk Tajuddin untuk tidak meneruskan (mubahalah) dan saya anggap perkara itu selesai begitu dan Allah tahu siapa yang betul, siapa yang tidak betul dalam hal ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Ramah Mesra dan Pengenalan Caloncalon Wanita Umno dalam pemilihan parti dengan Perwakilan Wanita Pahang di sini, semalam.

Ditanya jika Ahmad Tajuddin berkeras untuk meneruskan mubahalah itu, Adnan berkata: "Itu hal dialah, mungkin dia boleh jadi mufti pula."

Bagaimanapun, katanya, beliau akan cuba menyelesaikan isu itu secara politik.

"Ini isu politik, saya akan selesaikan dengan cara yang sesuai," katanya.

Adnan sebelum ini menafikan beliau campur tangan dalam pemilihan bahagian itu sehingga menyebabkan empat pemimpin bahagian itu didapati bersalah melanggar Tata Etika Ahli Umno oleh Lembaga Disiplin parti serta mencabar Ahmad Tajuddin untuk bermubahalah.

Ahmad Tajuddin kemudian mencadangkan mubahalah itu diadakan pada pukul 10 pagi Selasa ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Lain