suria

Wanita mati tergantung semalam tidak dirogol - Polis

KUALA LUMPUR: Bedah siasat terhadap mayat wanita yang ditemui tergantung pada sebatang pokok durian dengan hanya memakai coli dan seluar dalam, di Sungai Choh, Rawang semalam mendapati wanita itu tidak dirogol.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Rashid berkata hasil siasatan juga mendapati wanita itu bukan rakyat tempatan berdasarkan tiada suntikan BCG pada tubuhnya.

"Kita belum menemui petanda untuk mengenalpasti suspek setakat ini, namun siasatan akan diteruskan dengan mengadakan perjumpaan dengan syarikat bas, di mana tiket bas daripada syarikat itu (dipercayai milik mangsa), dijumpai di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bakhtiar berkata polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi melakukan pengecaman terhadap mayat wanita yang berusia dalam lingkungan 20an itu.

Bakhtiar berkata polis juga tidak menemui pakaian di sekitar tempat kejadian dan percaya ia (pakaian) disembunyikan suspek bagi melenyapkan bukti.

Semalam, seorang lelaki bermotosikal yang melalui kawasan itu menemui mayat wanita berkenaan dalam keadaan tergantung pada kira-kira pukul 7.45 pagi. BERNAMA

Artikel Lain