suria

Exco PAS Pusat calon Pakatan di Bukit Gantang?

PETALING JAYA: Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat PAS, Idris Ahmad dijangka menjadi pilihan parti itu untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.

PAS akan mengumumkan calonnya malam ini - tiga hari lebih awal berbanding jadual asal.

"Idris dilihat sebagai calon paling sesuai bagi PAS dan Pakatan Rakyat bertanding di Bukit Gantang disebabkan beberapa faktor termasuk kerana beliau merupakan anak tempatan," kata sumber kepada mStar Online.

Anak kelahiran Bukit Gantang ini telah bertanding di kawasan Parlimen Jerlun pada Mac 2008, tetapi tewas kepada Datuk Mukhriz Mahathir.

Idris, 45, lulusan pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, juga merupakan bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS.

Beliau pernah mengajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara).

Idris, yang pernah bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, merupakan antara empat nama terakhir yang telah dikemukakan oleh PAS Perak kepada pusat minggu lalu.

Changket Jering merupakan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Bukit Gantang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat di Markas PAS Bukit Gantang, Air Kuning sebelum diumumkan nama calon di Simpang malam ini.

"Kami akan mengumumkan nama calon esok (hari ini)," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Selain Idris, nama yang turut disebutkan ialah Ahmad sendiri, Setiausauaha Badan Perhubungan PAS Perak, Asmuni Awi dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun Ahmad dan Asmuni dikatakan telah menolak tawaran tersebut.

Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya akan mengumumkan calon pihaknya hari ini, bukannya 26 Mac yang disebutkan sebelum ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu.

Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, empat nama dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Beliau berkata, PAS mengambil keputusan untuk mengumumkan lebih awal bagi membolehkan calonnya turun padang dan berkempen untuk menarik sokongan rakyat.

Pada 14 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Saffian, 48, sebagai calon BN.

Beliau juga merupakan anak tempatan lahir di Kampung Kubu.

Artikel Lain