suria

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan pemimpin Hindraf

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan oleh lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) dalam permohonan pembebasan kali kedua sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Seri S.Augustine Paul dan Datuk Hashim Yusoff menangguhkan kehakiman ke tarikh yang akan ditetapkan bagi mempertimbangkan penghujahan peguam kelima-lima tahanan itu, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

R. Kengadharan, 42; M. Manoharan, 48; V. Ganabatirau, 36; P.Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 36, memfailkan permohonan kedua secara bersama di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei tahun lalu selepas permohonan sama ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Permohonan pertama difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember 2007 selepas mereka ditahan.

Mereka gagal mendapatkan pembebasan ekoran keduadua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan mengarahkan mereka kekal di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

Uthayakumar, seorang pesakit kencing manis, juga turut memfailkan permohonan habeas corpus secara berasingan atas alasan kecuaian dalam penerimaan rawatan kesihatan tetapi ia juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Semalam, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan teknikal kerana gagal memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Seksyen 95 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan ketika memfailkan petisyen rayuan.

Sementara itu, Manoharan memfailkan permohonan habeas corpus secara berasingan bagi mencabar kesahihan perintah tahanan di bawah Seksyen 8 (1) Akta ISA pada 8 Ogos tahun lepas tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan habeas corpus secara bersama, kelimalima tahanan itu memohon supaya dibawa ke mahkamah dan dibebaskan selaras dengan peruntukan Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mencabar kesahihan perintah Yang diPertuan Agong mengesahkan syor Lembaga Penasihat ISA untuk lanjutan tempoh tahanan pada dan selepas 26 Mac tahun lepas kerana tidak mematuhi tatacara oleh Lembaga Penasihat.

Hari ini, Karpal Singh menggesa mahkamah mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 Sept tahun lepas, menolak permohonan kedua habeas corpus oleh anak guamnya.

Katanya terdapat kecacatan tatacara kerana kegagalan Lembaga Penasihat membenarkan permohonan kelimalima pemimpin itu untuk memanggil pegawai penyiasat sebagai saksi.

Karpal Singh mempertikaikan kehadiran dua peguam kanan persekutuan, Datuk Abdul Wahab Mohamed dan Najib Zakaria pada perbicaraan Lembaga Penasihat yang dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran tahanan dan peguam mereka.

Katanya tatacara yang diamalkan oleh lembaga itu silap kerana kehadiran mereka mencemarkan syor lembaga dan keputusan Yang diPertuan Agong mengesahkan lanjutan tempoh tahanan.

Mohd Yusof berhujah bahawa tempoh tahanan berterusan selepas 26 Mac tahun lepas adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan lembaga itu telah mematuhi undang-undang.

Katanya kuasa dan fungsi Lembaga Penasihat ditadbir oleh Peraturan 10 (1) dan 10 (2) KaedahKaedah Keselamatan Dalam Negeri (Acara Lembaga Penasihat) 1972 yang memberi kuasa kepada lembaga itu mengatur prosedur secara tersendiri dalam apa juga hal.

Beliau juga berkata lembaga itu juga mempunyai kuasa di bawah Peraturan 10 dan Seksyen 16 Akta ISA untuk menyoal pengawai penyiasat tanpa kehadiran tahanan dan peguam mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain