suria

Curi kabel: Urusan di Imigresen P. Pinang terganggu semalam

BUTTERWORTH: Perkhidmatan online Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya terjejas semalam gara-gara kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia berhampiran jabatan itu.

Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan lebih 300 pelanggan tidak dapat menjalankan urusan mereka di pejabat itu semalam sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada mereka kerana terpaksa berurusan di pejabat Imigresen lain yang berhampiran.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun berkata, antara perkhidmatan yang terjejas ialah sistem memproses maklumat pekerja asing dan juga pasport.

Ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau memohon maaf kepada semua pelanggan jabatan itu yang menghadapi kesulitan akibat kejadian berkenaan.

"Keseluruhan sistem perkhidmatan online kita tidak berfungsi semalam kerana kabel Telekom di luar kawasan pejabat ini dipotong dan dicuri pihak tidak bertanggungjawab. Telekom telah berusaha membaiki kerosakan itu seharian semalam dan perkhidmatan kita pulih kembali pada pukul 9.30 pagi ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, pada kebiasaannya, jabatan itu menerima tidak kurang daripada 300 pelanggan setiap hari antara pukul 7 pagi dan 5.30 petang dan kejadian semalam juga menyebabkan jabatan itu tidak dapat mengutip levi harian antara RM600,000 dan RM800,000.

Katanya, Jabatan Imigresen merupakan penyumbang kutipan cukai ketiga tertinggi di negara ini selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Ini merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dan Jabatan Imigresen memohon maaf kepada semua pelanggan yang tidak dapat berurusan dengan kami semalam," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain