suria

Firdaus dilantik Senator, mahu perjuangkan kebudayaan

KUALA LUMPUR: Tokoh akademik dan budayawan, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara bagi penggal pertama hari ini berazam menjadikan bidang kebudayaan negara diberi perhatian serius seimbang dengan sains dan teknologi.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dari Mei 2005 hingga Mei 2008 itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara. Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

"Saya berharap perhatian yang lebih serius diberikan terhadap pengamalan kebudayaan kebangsaan kita, kedudukan penulis, budayawan dan sekaligus obsesi kita dengan sains dan teknologi dapat diimbangi dengan perkembangan kemanusiaan dan ilmu kebudayaan," katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah anggota Dewan Negara di bangunan Parlimen di sini.

Beliau tidak menafikan kepentingan bidang sains dan teknologi kepada negara namun perhatian yang diberikan dalam bidang itu perlu diimbangi dengan unsur-unsur kemanusiaan serta perlu ada kesedaran untuk melaksanakannya.

Firdaus, 65, berharap keanggotaan beliau dalam Dewan Negara akan memberikan kesempatan untuk beliau mengambil bahagian secara membina dan dapat menyumbang untuk meningkatkan mutu perdebatan sekali gus menyumbang terhadap amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

"Saya berpendapat konsep 'kedinamikan yang stabil' penting untuk mengimbangi tuntutan pelbagai pihak di negara ini dan berharap demokrasi akan tetap terpelihara, tidak akan porakperanda akibat tuntutan melampau pelbagai pihak... harapan saya dapat menyeimbangkan tradisi dan modenisasi," katanya.

Firdaus, dilahirkan di Kuang, Selangor berkelulusan Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang pengajian Sains Politik dari Universiti Colombia, Amerika Syarikat kini merupakan Fello Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1963 di bawah bimbingan Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu) dari tahun 2004 hingga 2005.

Kerjaya akademiknya pula bermula sebagai penolong pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya pada 1971 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM dari 1 April 1998 hingga 2 Jun 2001.

Firdaus juga terkenal dengan pelbagai hasil penulisan meliputi buku dan karya akademik dalam bidang politik, kebudayaan, kewartawanan dan penterjemahan karya kreatif dalam bidang puisi termasuk buku berjudul "Komentar Politik dan Kebudayaan" dan "Kepimpinan Melayu:Satu Rakaman Kewartawanan". BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain