suria

Pilihan raya kampus: Enam kerusi UTM menang tanpa tanding

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuka tirai kehangatan pilihan raya kampus bagi sesi pengajian 2009, dengan keputusan tidak rasmi enam calon diumumkan menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan yang diadakan hari ini.

Mereka merupakan calon bagi kerusi Fakulti Alam Bina dan Fakulti Kejuruteraan Awam yang masing-masing mempertandingkan tiga kerusi.

Mantan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Mohd Hafiz Mohd Johari ketika dihubungi mengesahkan kemenangan enam calon tersebut ekoran tiada pencabar dari fakulti berkenaan.

"Keputusan tak rasmi enam sudah menang tanpa bertanding kerana tiada calon lain dikemukakan," katanya.

Dalam pemilihan kali ini UTM mempertandingkan sebanyak 45 buah kerusi.

Daripada jumlah itu, 10 kerusi dipertandingkan di kawasan umum, 30 bagi kerusi fakulti dan lima untuk kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur.

Hafiz berkata proses pengundian yang dijalankan serentak di kedua-dua kampus sejak pukul 9 pagi tadi berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Semua pelajar mula membuang undi seawal pukul 9 pagi tadi di semua 10 peti undi yang ditempatkan di fakulti masing-masing," katanya.

"Kira-kira 21,000 pelajar akan menjalankan tanggungjawab mereka sehingga proses undian tamat pada pukul 5 petang," katanya.

Ditanya mengenai saingan bagi calon-calon yang bertanding, Hafiz berkata saingan pada pemilihan kali ini agak sengit.

Bagaimanapun jelasnya, UTM tidak melabelkan calon-calonnya mengikut fahaman politik luar kampus.

"Kita ada dua kumpulan iaitu calon pro-mahasiswa dan calon bebas atau evolusi.

"Tapi mereka tidak dilabelkan mengikut fahaman politik sebaliknya ia bergantung sama ada mereka dicalonkan oleh fakulti, kolej atau individu," katanya.

Pilihan raya kampus yang kebiasaannya diadakan sekitar bulan Oktober setiap tahun ditangguhkan sehingga awal tahun ini.

Ia berikutan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan autonomi kepada pihak pengurusan IPTA untuk menjalankan pilihan raya kampus masing-masing mengikut kesesuaian.

Khamis ini dua lagi IPTA akan mengadakan pemilihan bagi universiti masing-masing iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain