suria

Wartawan Sinar Harian kena ragut

KULIM: Seorang wartawan akhbar Sinar Harian, Maizatul Akmal Yahaya, 23, kerugian kira-kira RM5,000 selepas beg sandangnya diragut dua lelaki bermotosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kulim Bukit Mertajam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supritenden Ghuzlan Mohd Salleh berkata dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, kaca tingkap depan bahagian penumpang kereta Perodua Kancil yang dipandu Maizatul pecah akibat diketuk dengan batu oleh salah seorang lelaki yang mendekati kereta itu secara tiba-tiba.

"Setelah kaca tingkap pecah, salah seorang daripada lelaki berkenaan secepat kilat membuka pintu kereta lalu merampas sebuah beg milik Maizatul yang diletakkan di atas kerusi penumpang, sebelum suspek melarikan diri ke arah Bukit Mertajam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dalam aduannya, wartawan itu memaklumkan begnya mengandungi sebuah kamera digital SLR, sebuah kamera kompak, sebuah telefon, pendrive, beberapa dokumen serta buku catatan penting.

Sementara itu, Maizatul ketika dihubungi berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Pekan Machang Bubuk, Seberang Prai untuk ke satu lokasi di Lunas kerana ada tugasan di sana. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain