suria

Perbicaraan kes patung Mazu ditunda esok

KOTA KINABALU: Perbicaraan kes saman sivil yang difailkan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan tiga yang didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menarik balik pembinaan patung Mazu di Kudat ditunda esok.

Pesuruhjaya Kehakiman Yew Jen Kie hari ini membenarkan kes itu didengar di Mahkamah Tinggi di sini esok kerana Musa dan defendan kedua, bekas setiausaha negeri Datuk K.Y. Mustafa, tidak berada dalam negeri dan hanya akan kembali pada petang ini.

Peguam Chong, Ansari Abdullah tidak membantah penundaan itu.

Turut dinamakan dalam kes saman itu ialah bekas setiausaha tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ujang Sulani serta Lembaga Bandaran Kudat, masing-masing sebagai defendan ketiga dan keempat.

Saman itu, yang difailkan pada 6 Feb tahun lepas, mendakwa sebelum surat membatalkan kebenaran bagi projek patung Mazu dikeluarkan oleh Lembaga Bandaran Kudat, setiausaha eksekutifnya mengeluarkan satu surat kepada Chong pada 25 Mei, 2008 memerintahkan kerja-kerja pembinaan patung itu dihentikan sementara menunggu kelulusan dan arahan daripada Musa.

Ia juga mendakwa bahawa surat itu menyifatkan tapak projek patung Mazu tertinggi di dunia itu sebagai berhampiran dengan Masjid Asy-Syarikin di Kudat dan menyatakan ia sebagai alasan bagi arahan pembatalan serta bantahan daripada beberapa pihak di tapak berkenaan.

Kesemua defendan diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Roderic Fernandez. BERNAMA

Artikel Lain